Kerajaan dilihat tidak perlu untuk menarik diri daripda menjadikan Malaysia selaku tuan rumah atau hos bagi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung Jun ini meskipun laporan kes Covid-19 menunjukkan trend meningkat dan sedikit membimbangkan.
Mohd Sadek Mustaffa selaku pemerhati bola sepak tempatan menganggap peluang yang terhidang sebagai hos menjadi prospek paling cerah buat Malaysia sekali gus wajar untuk diteruskan di sebalik kes yang dilihat semakin meningkat akhir-akhir ini.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, melihat dari suatu sudut utama sudah pasti mengenai kelebihan skuad kebangsaan mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri serta di hadapan para penyokong sendiri sekalipun kerajaan bakal mengehadkan jumlah para penonton di stadium.
Dari segi aspek kedua, ekonomi negara dilihat mampu meningkat dan menjana perolehan kepada industri bola sepak tempatan termasuk untuk kegiatan arus perdana yang membuat promosi seperti pengiklanan, hak siaran antarabangsa, penjualan tiket serta industri hiliran seperti pelancongan dan perniagaan kecil.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh menjadikan pusingan kelayakan ini sebagai ujikaji bagi melihat kemampuan penganjuran tenaga kerja tempatan dalam merancakkan semula industri sukan negara.
“Bayangkan kali terakhir Harimau Malaya beraksi di laman sendiri pada November 2019. Sekiranya kita tidak beraksi di gelanggang sendiri sehingga Jun nanti, ini bermakna skuad kebangsaan tidak bermain di hadapan penyokong sendiri selama 56 bulan atau dua tahun lapan bulan.
“Sedangkan Singapura menjadi hos Piala AFF 2020, manakala Kemboja menjadi tuan rumah Piala AFF Bawah 23 tahun (B-23) tetapi kita masih berfikir perlu atau tidak untuk membatalkan hak tuan rumah Malaysia.
“Kita jangan undur tetapi sebaliknya rangkalah prosedur operasi standard (SOP) terbaik untuk merancakkan kembali industri bola sepak. Bukan sahaja Ultras Malaya boleh melaungkan sokongan mereka, penjual burger pun boleh cari makan,” katanya menerusi Berita Harian.
Dalam masa sama, beliau berpandangan mengenai KBS yang perlu berbincang dengan baik bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memujuk agar mereka melonggarkan sedikit beberapa SOP yang dianggap Sadek sebagai terlalu sulit bagu Malaysia membuka pintu kepada penganjuran kejohanan sukan antarabangsa.
Ini susulan daripada KKM yang mengumumkan kes harian positif dilaporkan adalah majoritinya dalam kategori 1 dan 2.
“Walaupun sempadan negara belum dibuka, cuba kita kaji tindakan negara lain dalam menganjurkan kejohanan bola sepak di negara mereka.
“Apa yang pasti langkah pencegahan seperti ujian calitan di destinasi asal, tempoh isolasi yang sesuai serta pematuhan SOP yang ketat sebelum, sepanjang dan pasca kejohanan harus dilaksanakan,” katanya.