Piala Sumbangsih: 2 Gol Berpunca Daripada Declan Lambert, Apa Komen Bojan Hodak?

Declan Lambert Arif Aiman JDT KL City Piala Sumbangsih 2022

Johor Darul Ta’zim (JDT) mendahului babak pertama dengan kedudukan 2-0 dan kedua-dua gol itu berpunca daripada pemain baharu, Declan Lambert yang mengambil alih posisi Daniel Ting yang telah ‘angkat kaki’.

Tampak jelas Kuala Lumpur (KL) City FC ‘menderita’ tanpa Daniel Ting yang secara tiba-tiba mengambil keputusan untuk tinggalkan mereka di saat dua minggu sebelum tirai Liga Malaysia (Liga M) disingkap.

Daniel Ting beraksi dalam semua perlawanan Liga Super buat The City Boys musim lalu, malah tidak salah untuk kita katakan, beliau merupakan bek kiri tempatan yang paling menyerlah dalam saingan musim lalu.

KL City turun dengan percaturan berani meletakkan Declan Lambert, kembar kepada Ryan yang telah bersama pasukan musim lalu. Beliau yang baru sahaja menyertai pasukan jelas tampak bergelut dalam ‘debut’ di Liga M. Malah, beliau juga terpaksa bermain di posisi bek kiri yang merupakan posisi sekundernya selama beraksi.

Lebih banyak tampil bermain di bek kanan, tentunya sedikit kekok buat dirinya, malah ia dilakukan ketika debut.

Dua gol pantas JDT menerusi Nazmi Faiz dan penyerang baharu, Fernando Forestieri pada minit ke-26 dan ke-31 dilihat melibatkan Declan Lambert yang lambat membuat ‘pressing’ atau hanya memerhatikan sahaja.

Gol pertama Harimau Selatan adalah hasil pergerakan di sebelah kiri KL City apabila Arif Aiman mempamerkan kelincahannya memperdaya Declan Lambert sebelum melambung bola ke dalam kotak penalti untuk ditanduk oleh pemain tengah, Nazmi Faiz yang tidak dikawal rapi oleh benteng pertahanan bagi mencetak gol pertama.

Declan Lambert gagal membaca lebih awal bagaimana permainan Arif Aiman yang memang suka melakukan pergerakan sebegitu, malah kepantasan pemain muda itu berjaya membuatkan bek berusia 23 tahun itu ‘lemas’.

Tidak lama kemudian, lima minit berselang, sekali lagi Declan Lambert dikesan terlibat ‘melepaskan’ gol buat lawan. Fernando Forestieri melakukan sesuatu yang di luar jangkaan saat dikawalnya di depan kotak penalti.

Declan Lambert dilihat hanya memerhatikan bola di kaki Fernando Forestieri yang kemudiannya melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti untuk menewaskan Kevin Mendoza yang gagal untuk menafikannya.

Dua kali Bojan Hodak disoal prestasi pemain-pemain baharunya, terutamanya Declan Lambert, malam tadi.

“Ini merupakan penampilan pertamanya [bersama KL City] dan dia tidak bermain selama enam bulan sebelum tiba di sini. Jadi, dia kekurangan ‘match fitness’. Anda dapat lihat dia adalah pemain yang bagus, tetapi ketika ini dia memerlukan masa.

“Malah dia lebih gemar bermain di sebelah kanan, tetapi kita kehilangan Daniel Ting dan dia terpaksa bermain di sebelah kiri. Jadi, mungkin ini antara faktornya. Saya akan beri ‘diskaun’ apabila menilainya.”

Bojan Hodak

Sementara itu, JDT berhasil menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah dalam perlawanan Sumbangsih malam tadi apabila berjaya menundukkan KL City dengan keputusan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Satu lagi gol JDT dicipta oleh Afiq Fazail menerusi sepakan ‘half volley’ dari luar kotak penalti untuk tewaskan Kevin Mendoza buat kali ketiga pada minit ke-84. Ia terus memuktamadkan pemenang aksi malam tadi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN