Penjelasan Taktikal ‘Genius’ Klopp Mengapa Mane Direhatkan Untuk Origi

Pada ketika kesebelasan utama Liverpool untuk menentang AC Milan diumumkan pada awal pagi Khamis lalu, ramai penyokong The Red tertanya-tanya dengan langkah yang diambil oleh pengendali pasukan, Jurgen Klopp.

Ini kerana ketiadaan dua pemain utama di dalam pasukan. Virgil van Dijk yang merupakan bek tengah dan pemain pertahanan terbaik dunia tiada di dalam senarai kesebelasan utama, dan sekadar berada di bangku pemain simpanan untuk memberi laluan kepada Joe Gomez.

Manakala penyerang sayap, Sadio Mane yang terkenal dengan trio serangan terbaik dunia bergandingan dengan Roberto Firmino dan Mohamed Salah turut direhatkan.

Sebaliknya pengendali dari Jerman itu menamakan Diogo Jota dan Divock Origi di barisan hadapan untuk digandingkan dengan Mohamed Salah – pemain yang sentiasa menjadi pencabar terdekat untuk anugerah Ballon d’Or untuk mencabar Messi dan Ronaldo sejak beberapa musim yang lalu.

Langkah bijak Klopp

Tidak ada sebab mengapa penyokong Liverpool perlu meragui kebijaksanaan Jurgen Klopp yang pernah dipilih sebagai pengurus terbaik dunia di majlis anugerah FIFA pada 2020 itu.

Liverpool kurang aktif di pasaran pemain pada musim panas lalu, tetapi ini tidak bermakna The Reds tidak mempunyai squad depth yang diperlukan untuk mencabar setiap pertandingan pada musim ini.

Maka inilah masa terbaik Klopp membuktikan kepada penyokong The Reds bahawa setiap perancangan mereka berada di landasan yang betul.

Ia bukan langkah mengejutkan apabila Van Dijk direhatkan. Ini kerana pemain antarabangsa Belanda itu telah beraksi semua perlawanan tanpa rehat sejak kembali dari kecederaan ACL pada musim lalu.

Begitu juga dengan pemilihan Diogo Jota yang menyerlah sejak beberapa perlawanan lalu. Kemampuan pemain ini beraksi di posisi sayap juga adalah satu kelebihan.

Bagaimana pula dengan Divock Origi? Bukankah Liverpool juga memiliki Takumi Minamino? Untuk rekod pertemuan menentang AC Milan adalah penampilan pertama pemain dari Belgium itu di dalam kesebelasan utama sejak lapan bulan yang lalu.

Kali terakhir Origi beraksi dari permulaan ialah ketika membantu Liverpool menang 3-1 menentang West Ham pada Januari.

Penjelasan Klopp mengenai Origi

Pemilihan Origi sebagai centre forward di dalam perlawanan ini nyata berbaloi dan memenuhi tuntutan yang Klopp kehendaki untuk Liverpool.

Pemain dari Belgium itu mungkin tidak popular seperti Mane, Salah, Firmino mahu pun Jota. Tetapi kepantasan dan fizikal dimilikinya adalah satu aset berlainan yang boleh dimanfaatkan Liverpool.

Kemampuan beliau melakukan pressing secara berterusan pada 20 minit pertama perlawanan misalnya memberikan banyak peluang untuk Liverpool mencipta sesuatu sehingga berjaya mendahului perlawanan.

“Kami memerlukan kepantasan [di bahagian hadapan],” ujar Klopp kepada BT Sport.

“Ia juga sebab yang sama mengapa kami harus menggunakan setiap pemain di dalam skuad ini.

“Saya berharap tidak ada pihak berpendapat kami memandang rendah AC Milan. Ia penting kerana pasukan ini memerlukan pemain yang segar dan cergas, dan juga untuk menghadirkan elemen kejutan kepada lawan.”

Apa yang dikatakan oleh Klopp nyata benar. AC Milan bukan pasukan yang wajar dipandang rendah. Dengan bantuan aura di malam Champions League di Anfield yang sentiasa luar biasa, mana-mana pemain yang diturunkan akan mampu menampilkan aksi terbaik mereka.

Origi bagaimanapun beraksi selama 63 minit sebelum memberi laluan kepada Sadio Mane selepas mengalami sedikit kecederaan.

Namun jika aksi dengan keyakinan serupa terus ditampilkan oleh beliau, maka ia bukan perkara menghairankan untuk kita melihat Origi beraksi lebih kerap pada musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN