Sebelum Liga Super yang diperkenalkan pada tahun 2004, Liga Perdana Satu merupakan liga utama di tanah air selepas format liga dua divisyen digunakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 1998.
Pada era tersebut lahirnya pemain-pemain berkualiti yang berjaya memperagakan aksi yang begitu meyakinkan serta berjaya menghiburkan para penyokong yang hadir ke stadium masing-masing.
Artikel kali ini ingin mengimbau kembali nostalgia buat para penyokong bola sepak tanah air mengenai pemain-pemain yang berjaya mencipta kegemilangan dengan meraih anugerah kasut emas dalam saingan Liga Perdana Satu dari tahun 1998 hingga 2003.
Viatcheslav Melnikov ( 1998 – 17 gol )
Pemain import dari Russia ini lahir pada 12 Mac 1975 dan digelar sebagai ‘Russia Torpedo’ dalam kalangan penyokong.
Beliau memulakan karier di Malaysia dengan beraksi untuk Pahang, Melnikov tidak menunggu lama untuk membuktikan ketajamannya apabila berjaya menghasilkan 17 gol untuk dinobatkan penjaring terbanyak liga 1998.
Pemain ini turut berjaya membantu Pahang meraih tempat kedua dalam saingan Liga Perdana Satu pada musim tersebut.
Melnikov kemudiannya berkelana ke Hong Kong dan kembali bersama Pahang pada tahun 2002 dan berjaya menghasilkan 13 jaringan buat skuad Tok Gajah. Beliau kemudiannya berhijrah ke Pulau Pinang pada tahun 2004.
Azman Adnan (1999 – 13 gol)
Penyerang tempatan yang tidak perlu diperkenalkan lagi ini. Mencipta nama bersama Kuala Lumpur dan Selangor, Azman kemudiannya berhijrah ke Pulau Pinang pada musim 1999 selepas pasukan Harimau Kumbang tersebut berjaya meraih kejuaraan musim 1998.
Pada tahun ini juga FAM menguatkuasakan undang-undang bahawa pemain import tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia sehingga tahun 2001.
Azman Adnan berjaya menghasilkan 13 gol untuk meraih gelaran penjaring terbanyak pada musim pertamanya di Pulau Pinang.
Beliau kemudiannya memilih untuk beraksi bersama Negeri Sembilan pada musim berikutnya.
Azizul Kamaluddin (2000 – 12 gol)
Penggempur Pahang yang pernah pada satu ketika hampir berhijrah ke pasukan Perak ini merupakan antara penyerang tempatan yang mempunyai karisma sebagai seorang penyerang prolifik.
Walaupun tidak berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Satu yang dimenangi Pahang pada tahun 1999, Azizul berupaya meraih anugerah pemenang kasut emas pada musim tersebut sebagai kejayaan peribadinya.
Norizam Ali Hassan (2001 – 13 gol)
Penyerang berasal dari Melaka ini berjaya membentuk gandingan mantap bersama-sama Khalid Jamlus dan V.Saravanan yang menjadi sandaran utama Perak ketika itu.
Perak berjaya menghasilkan 38 jaringan dalam saingan Liga Perdana Satu 2001.
13 gol yang dihasilkan berjaya meletakkannya sebagai penjaring terbanyak liga. Norizam juga berjaya membantu Perak melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Namun Perak yang ketika itu dibimbing Datuk M.Karathu kecewa selepas tewas 2-1 ditangan Terengganu.
Khalid Jamlus (2002 – 17 gol)
Ketika ini pemain import telah dibenarkan untuk kembali beraksi di Malaysia. Kehadiran pemain import tidak menjadi masalah buat penyerang Perak ini apabila berjaya menghasilkan 17 gol untuk menjadi penjaring terbanyak liga.
Ketika itu Perak turut diperkuatkan dengan pemain-pemain seperti Ahmad Shahrul Azhar Sofian, V.Saravanan, Indra Putra Mahayuddin dan Norizam Ali Hassan.
Pencapaian hebat dari Khalid itu juga diserikan lagi dengan kejayaan Perak berjaya menjuarai saingan Liga Perdana Satu apabila mencatatkan 60 mata bagi meninggalkan Selangor di tempat kedua.
Philemon Chipeta (2003 – 23 gol)
Tidak keterlaluan untuk mengatakan awang import dari Zambia ini merupakan penyerang yang sangat berbisa pada ketika itu.
Beliau pantas membuktikan kredibilitinya apabila berjaya menjaringkan hatrik pada penampilan pertamanya ketika Perlis menang 4-0 keatas Terengganu di Kangar.
Chipeta ketika itu bergandingan bersama Kelvin Masungu dan mendapat sokongan hebat di barisan tengah dari Muhammad Lamin Conteh Al Hidayah.