Penjaga gol veteran dibawa masuk sebagai penjaga gol simpanan bukanlah perkara baru di bola sepak Inggeris. Lee Grant dibawa masuk oleh Manchester United pada musim lalu. Musim ini Liverpool turut membawa masuk penjaga gol berusia 32 tahun dari Sepanyol, Adrian.
Dan terkini Manchester City membawa masuk penjaga gol veteran yang tidak asing di Liga Inggeris, Scott Carson. Oleh kerana itu, siapa pun anda, janganlah terkejut dengan trend ini.
Sekadar dipinjamkan
The Cityzens mengambil keputusan meminjam Scott Carson dari Derby County. Beliau dipinjamkan ke Etihad Stadium selama semusim.
Ketika ditemuramah oleh media kelab itu, Carson tidak sama sekali menyangka beliau akan menyertai juara bertahan Liga Inggeris itu. Malah baginya, ia peluang yang seharusnya tidak ditolak sama sekali.
Carson sendiri mengatakan pengalamannya di kancah Liga Perdana Inggeris berguna untuk Manchester City. Carson akan menjadi penjaga gol ketiga selepas Ederson dan Claudio Bravo.
Sebelum ini, Carson pernah beraksi untuk Derby sejak 2015. Beliau menjadi tunjang utama The Rams untuk mara ke play-off.
Sayangnya, Carson tidak pernah menaiki divisyen bersama Derby. The Cityzens dikatakan membayar kira-kira 15 ribu Pound Sterling sebagai gaji untuk penjaga gol ini.
Rekrut berpengalaman
Pengurusan Manchester City menyatakan kegembiraan kerana berjaya mendapatkan Carson. Dilaporkan kelab itu meminjamkan pula Arijanet Muric ke Nottingham Forest.
Carson pernah beraksi sebanyak 4 kali untuk pasukan kebangsaan England. Penjaga gol berusia 33 tahun ini pernah berkelana sebentar ke Turki untuk bersama Bursaspor selama dua musim.
Di England, beliau pernah ditugaskan menjaga gol untuk Leeds United, Liverpool, West Bromwich Albion dan Wigan Athletic. Mungkinkah kelibat Carson akan dilihat untuk perlawanan kurang penting di Etihad?