Quantcast

BERITA

Tiada Lagi Kelibat Teong Kim Selepas Ini, Siapa Calon Pengganti Oleh MSN?

Seperti yang ramai ketahui, kontrak Lim Teong Kim selaku Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan berakhir Oktober ini. Tidak ada tanda-tanda kontrak bekas jurulatih remaja di Bayern Munich itu akan dikekalkan.

Sebaliknya, Majlis Sukan Negara (MSN) yang bertindak sebagai salah sebuah agensi pelaksana program tersebut membayangkan Teong Kim akan diganti oleh calon baru.

Sebenarnya niat untuk menggantikan Teong Kim dengan calon lain untuk jawatan tersebut bukanlah perkara yang perlu diselindungi lagi. Sejak kegagalan beliau yang juga merupakan ketua jurulatih skuad B-16 negara di kejohanan AFC pada tahun lalu gagal menepati sasaran layak ke Piala Dunia B-17, pelbagai pihak telah tampil mengkritik dan mempersoalkan kewibawaan beliau.

MSN akui adanya calon pengganti

Melalui satu laporan oleh Berita Harian semalam, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin mengesahkan beberapa calon yang berpotensi yelah pun dikenalpasti untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Teong Kim.

Sambil memberi jaminan individu yang terpilih untuk mengisi jawatan Pengarah Teknikal seterusnya pasti turut memiliki kaliber dan potensi untuk meneruskan NFDP selepas ini, MSN turut berkata beberapa perubahan mungkin dilakukan untuk memantapkan lagi pengurusan program tersebut.

Foto: Goal

“Kita sudah berbincang dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MSN. Pengumuman rasmi akan dibuat oleh menteri sendiri nanti,” ujar Jefri kepada wartawan Berita Harian.

“Tetapi apa yang boleh saya katakan, ia adalah satu berita baik di mana perkembangan ini diharap dapat memberi penambahbaikan daripada struktur yang ada sekarang. Ia kombinasi antara tempatan dan import.

“Perubahan ini cukup penting di mana kita akan laksanakan dan lengkapkan apa yang FAM sudah lakukan dengan Peta Hala Tuju F:30 dan kita akan bekerjasama dengan mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan sesi latihan Fagiano Okayama di Padang Latihan Masada, Okayama, semalam.

Tunggu Syed Saddiq

Enggan mendedahkan calon yang akan mengambil jawatan Pengarah Teknikal NFDP dari Teong Kim buat masa ini, Jeffri berkata perkara itu akan diumumkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman sendiri dalam masa terdekat.

Satu perkara yang pasti dan jelas mengenai perubahan yang akan dibawa masuk adalah perkara berkisar ‘DNA Bola Sepak Negara’ yang dilancarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

Video: DNA Bola Sepak Malaysia

FAM hari ini melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia sebagai rujukan bagi semua pihak…

Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Tuesday, July 9, 2019

Antara perbezaan jelas diantara DNA bola sepak negara oleh FAM, dan apa yang diamalkan oleh NFDP selama ini adalah formasi permainan. DNA bola sepak negara percaya 4-3-3 adalah sistem yang paling sesuai untuk pemain-pemain negara menyerlah, manakala program NFDP sebelum ini menekankan sistem 4-4-2 (diamond).