Penjaga gol muda Kelantan, Irfan Haikal boleh dikatakan menjadi antara pemain paling malang untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) pada tahun lalu menerusi pengalaman dihadapi dalam dan luar padang.
Terbaharu, penjaga gol muda ini tampil membuat pendedahan yang boleh dikatakan cukup menyayat hati mengenai pengalamannya sepanjang mengalami saat sukar bersama pasukan tersebut.
Perkongsian ini dibuat oleh Astro Arena sendiri pada beberapa hari lalu menerusi satu sesi temuramah membabitkan penjaga gol itu bersama Zulhelmi Zainal Azam dalam satu program Pemain Eksklusif.
Terlebih dahulu, Irfan berkongsikan bagaimana beliau berjaya menempatkan diri selaku salah seorang pemain utama dalam skuad Liga Super Kelantan pada musim lalu.
Beliau yang ketika itu dipanggil buat pertama kali bersama pasukan utama Kelantan mengakui terkejut kerana Irfan bukanlah penjaga gol utama di skuad bawah 23 (B-23) sebelumnya.
Antara kenangan manis sempat dikecapi Irfan bersama Kelantan di Liga Super pastinya ketika beliau mendapat rekod ‘cleansheet’ pertama sewaktu mereka menewaskan cabaran Negeri Sembilan.
Namun, Irfan juga mengakui beliau mengalami detik malang sukar dilupakan selepas Kelantan mencatat kekalahan besar 2-11 di tangan Selangor pada tahun lalu.
“Macam mana nak cakap ya? Ketika lawan Selangor tu bila wisel penamat dibunyikan saya rasa macam tanggungjawab tu dah habis.
“Saya tengok belakang angka 11, dan saya rasa kalau permainan masih berlangsung lagi mungkin lebih banyak gol dapat dihasilkan.
“Dengan keadaan mentaliti rakan-rakan lain yang saya akui sudah jatuh dan saya apa benda lah yang saya buat ni?
“Tetapi ketika itu ada 3-4 orang pemain senior Selangor macam Faisal Halim dan Brendan Gan datang untuk beri kata-kata semangat pada saya,” kata Irfan.
Pada masa sama, Irfan juga berkongsikan pengalaman sukar dihadapi beliau di luar padang bersama rakan sepasukannya dari Argentina iaitu Leonardo Rolon.
“Semua orang tahu situasi dihadapi para pemain Kelantan yang sebelum itu tak bergaji dan saya bersama Rolon merupakan teman sebilik.
“Nak dijadikan cerita saya pada ketika itu masing-masing tak berduit dan kami hanya ada dalam lingkungan RM8 ke RM9 macam tu dan saya tanya jika dia mahu makan.
“Saya kata kepadanya untuk menunggu di bilik dan saya pergi ke bawah hotel untuk membeli makanan dengan menyatakan nasi lebih tetapi asingkan ayam.
“Kerana saya tahu Rolon ini tak makan makanan berkuah atau pedas kerana citarasa beliau berbeza dengan asingkan lauk dan sambal, tetapi nasi hanya sebungkus.
“Lepas selesai, saya naik dan tanya Rolon jika beliau mahu makan, dan dia bertanya kepada saya hanya membeli satu bungkus sahaja?
“Saya kata ya, awak dan saya makan bersama tetapi dia menolak dan berkata untuk saya makan seorang sahaja.
“Tetapi saya menolak cadangan beliau dan mengasingkan nasi sebungkus tersebut antara saya dan dirinya dan dia menitik air mata bila melihat apa dilakukan itu.
“Sambil tumbuk di bahu saya, dia kata saya merupakan rakannya dan ketika itu saya dan dia makan bersama sambil menangis kerana ketika itu memang kami tidak ada apa serta tak semua mampu menghadapi situasi seperti itu.
“Dengan ‘partner’ saya itu orang luar dan berjauhan daripada keluarga dan saya kena faham dia juga walaupun saya ada keluarga yang boleh saya hubungi dan minta duit belanja.
“Tetapi saya tak mahu kerana dia susah saya pun perlu susah dan kami sama-sama susah sampai la satu masa saya hantar dia ke lapangan terbang, dia peluk saya dan kata jika saya tak miliki wang, dia akan hantar kepada saya.
“Dia balik sambil menangis dan tak pandang ke muka saya lagi dan hanya melambaikan tangan sahaja dan saya sangat sebak kerana dia merupakan rakan saya ketika susah dan bila gembira pun sama-sama,” katanya lagi.
Apapun, Irfan masih lagi bersemangat untuk mengharungi musim 2024 dan menjadikan ianya sebagai suatu pengajaran berguna pada tahun lalu.
Kami di Semuanya BOLA sentiasa mendoakan supaya karier Irfan terus berkembang pada masa hadapan dan menjadi antara penjaga gol harapan negara suatu hari nanti.