Salah satu mitos yang paling popular di kalangan peminat bola sepak, penalti bergantung kepada nasib dan kerapkali pengulas melabel ia loteri apabila tiba ke penentuan sepakan penalti.
Argentina memiliki rekod yang baik dalam penalti Piala Dunia apabila Sergio Romero menyelamatkan penalti Ron Vlaar dan Wesley Sneijder. Argentina memang negara yang pakar dalam penentuan penalti.
Ini adalah ranking kemenangan penentuan penalti dalam Piala Dunia melibatkan 16 pasukan akhir.
Adakah ungkapan, penalti adalah loteri dan nasib ini untuk menyenangkan hati kerana pemain gagal menyempurnakan penalti dengan lebih baik?
Kami pernah menulis artikel tentang sains di sebalik penalti, di mana kedudukan penalti yang terbaik dan di mana kedudukan arah sepakan yang dianggap teruk.
Analisis: Sains Di Sebalik Sepakan Penalti Oleh Pemain Liga Utama Eropah
Dan satu lagi artikel kami tulis tentang kaedah lebih saintifik digunakan penjaga gol untuk menyelamatkan penalti:
Kajian Ini Percaya Ini Adalah Kaedah Digunakan Penjaga Gol Mengekang Penalti
2 artikel di atas ini, anda harus letakkan dalam senarai untuk arkib bacaan anda. Dalam era bola sepak yang berkembang maju, penalti kini lebih kepada sains.
Ia adalah bergantung kepada teknik untuk melakukan sepakan serta kajian ke atas pemain yang akan anda hadapi. Piala Dunia 2018 akan memasuki fasa kalah mati dan penentuan sepakan penalti pastinya menjadi topik dalam kem latihan.
Huerta Si Doktor Penalti
Ignacio Palacios-Huerta digelar doktor penalti oleh ramai pundit bola sepak. Ini kerana pada era 90-an, beliau mula melakukan kajian secara saintifik tentang penalti ini di University of Chicago. Kertas kajian beliau disiapkan pada 2003.
Hureta pernah dipanggil oleh Chelsea pada 2008 untuk membantu mereka dalam penalti.
Dan beliau menjangkakan Ronaldo akan menukar larian beliau (pause) dan menunggu penjaga gol melompat. Nasihat Huerta, Petr Cech jangan melompat awal untuk penalti Ronaldo.
Apabila Ronaldo melihat penjaga gol tak bergerak, beliau akan lebih cenderung merembat bola ke kanan penjaga gol (arah kiri Ronaldo). Lihat detik itu di sini:
Beliau juga menyatakan yang Van Der Sar cenderung untuk tidak melompat awal apabila berhadapan dengan pemain yang menggunakan kaki kanan.
Daripada artikel kami kongsikan di atas tentang penjaga gol, ini adalah teknik yang dianggap ‘gamble’. Namun Van Der Sar ada kelebihan melakukannya kerana dia tinggi.
Bagi pemain kidal, Van Der Sar lebih yakin melompat awal dan gemar melompat ke arah ‘natural’ pemain tersebut. Maksudnya, kalau pemain kidal mereka cenderung untuk melakukan sepakan terus ke kiri penjaga gol.
Jadi, pemain perlu menggunakan ‘power’ / kekuatan untuk menewaskan Van Der Sar supaya beliau tidak dapat menjangkau bola itu pada masa yang tepat dengan memilih sudut paling atas atapun paling rendah di tepi gol.
Chelsea dilaporkan menghormati kajian beliau dan John Terry diarahkan untuk menukar arah sepakan beliau ke kanan.
Van Der Sar melompat awal ke kiri namun malangnya John Tery tergelincir dan Anelka kemudiannya dikatakan digganggu oleh aksi Van Der Sar yang menunjukkan arah kiri beliau (VDS).
Anelka dikatakan tidak dapat fokus dan melupakan nasihat Huerta yang menyarankan agar bola jangan sesekali dirembat pada ketiggian separuh, hendaklah dirembat tinggi ataupun sangat rendah.
Manhester United menang dalam penentuan penalti itu namun hasil kajian daripada Huerta jelas telah mendapat perhatian kelab besar di Eropah.
Analisis penalti di Piala Dunia 2018
Dalam Piala Dunia kali ini, ia telah menjadi Piala Dunia yang banyak penalti lebih-lebih lagi dengan adanya VAR. Jadi, kajian saintifik kepada penalti ini sangat penting. Pemain seperti Messi dan Ronaldo sendiri gagal melakukan penalti mereka sebelum ini.
Penjaga gol Iceland mendedahkan beliau sudah ada persiapan berbulan-bulan untuk penalti Messi dengan melakukan kajian sendiri dan banyak sekali menonton aksi penalti pemain itu.
Ianya bukan kebetulan. Penjaga gol muda Iran juga dengan yakin menyelamatkan penalti Ronaldo. Messi dan Ronaldo memilih untuk melakukan rembatan ke arah tidak semulajadi mereka ketika penalti diselamatkan.
https://www.youtube.com/watch?v=wQ0UzCvbZrU
Messi kaki kidal menuju ke kanan penjaga gol, Ronaldo kaki kanan menuju ke kiri penjaga gol. Begitu juga dengan Siggurdson yang cuba merembat ke arah tidak semulajadi dan terlalu tinggi ketika menentang Nigeria.
https://www.youtube.com/watch?v=LHkEVcrf8B4
3 pemain ini menggunakan tennik yang sama pada permulaan dari segi cara mereka ‘membuka badan’ mereka. Setiap pemain perlu ada keyakinan tinggi untuk melakukan percubaan ke arah ‘unnatural’.
Ini adalah pecahan penalti selepas tamat peringkat kumpulan Piala Dunia 2018.
Jumlah: 24
Sepakan ke arah kanan: 9/24
Sepakan ke tengah: 2/24
Sepakan ke kiri: 13/24
Statistik lompatan penjaga gol
Kanan: 15/24
Tengah: 1/24
Kiri: 8/24
Ini adalah data daripada penalty kicks stat.
Huerta memberikan komen beliau tentang trend penalti kali ini:
“Kelihatan penjaga gol terlalu fokus kepada arah kanan. Ini sebenarnya kurang tepat kerana mereka memfokuskan kepada kaki yang digunakan. Iaitu pemain kanan akan pergi memilih sepak ke kanan.”
“Kita ambil semula teori N dan NN. N adalah sudut semulajadi dan NN adalah untuk sudut tak semulajadi.”
“Secara semulajadi, pemain kaki kanan akan memilih arah kanan (kiri penjaga gol) dan sebaliknya berlaku kepada pemain kaki kiri. Dan secara NN, ianya bertentangan.”
Data daripada pengambil sepakan penalti:
Pemain memilih sudut semulajadi: 13 kali
Tengah: 2 kali
Pemain memilih sudut tak semulajadi: 9 kali
Daripada data di atas jelas sekali pemain tidak begitu yakin untuk memilih sudut tak semulajadi.
Penjaga gol kali ini hanya berjaya mengagak 10 daripada 24 penalti dengan tepat. Ianya kurang daripada 50% , satu kadar yang Huerta jangkakan sebelum temasya ini bermula.
Messi dan Ronaldo cuba menukar arah sepakan mereka kepada arah tak semulajadi kerana mereka mungkin sudah menjangka penjaga gol lebih bersedia dengan data kajian mereka. Namun sebenarnya penjaga gol berjaya untuk tidak tertipu dengan helah itu.
Penentuan penalti/Shoot-outs
Huerta percaya, dalam penentuan penalti, sistem ABBA adalah yang sangat adil.
Ini kerana, dalam sistem ABAB (sistem yang biasa ikut giliran ABAB), Pengambil sepakan pertama akan ditentukan dengan balingan syiling. Berdasarkan kajian Huerta, beliau percaya pasukan yang mengambil sepakan pertama akan memiliki ratio kemenangan sekitar 60%.
Pada UCL 2008, Huerta menceritakan yang Rio Ferdinand dikatakan mendapat peluang untuk memilih agar Man. United mengambil sepakan pertama. Namun kapten itu melihat pasukan beliau tidak sedia lagi dan mulai tidak pasti sama ada perlu memberitahu pengadil mereka mahu jadi yang pertama.
Terry terus menawarkan diri kepada Ferdinand agar mereka mengambil sepakan terlebih dahulu kerana mereka sudah mendengar taklimat Huerta tentang hal ini. Pemain-pemain Chelsea sangat profesional dan sangat mendengar nasihat Huerta walaupun mereka berstatus bintang.
Ferdinand kemudian memberitahu Terry beliau perlu meminta pandangan daripada jurulatih mereka. Dan Sir Alex Ferguson mengarahkan Ferdinand tidak menyerahkan kelebihan itu kepada Chelsea. Ferdinand menurut perintah dan United menjadi yang pertama.
Namun begitu, Huerta juga membentangkan, jika pasukan yang bermula dahulu gagal menyempurnakan sepakan pertama, ia akan memberikan impak besar. Kelebihan 60% itu akan menjadi 40%.
“Dalam penentuan penalti Argentina Belanda 2014, Belanda mulakan dahulu, namun Vlaar menyaksikan sepakan beliau diselamatkan Romero. Messi kemudian menjaringkan penalti. Ia membuatkan Belanda hilang kelebihan daripada 60% kepada 40%.”
“Penalti seterusnya Belanda mengurangkan nisbah mereka kepada 31%-69%.”
Huerta pernah membentangkan kajian beliau ini di Itali pada 2010 dan kajian ini diterbitkan untuk digunakan dalam program pembangunan bola sepak di Itali.
Beliau mengambil sampel penentuan penalti dari 1970-2008. Beliau menemui 240 pemain dan jurulatih profesional dan hampir kesemua mereka memilih menjadi yang pertama, ataupun 96% daripada bancian beliau.
Ini kerana mereka percaya pengambil sepakan pertama akan memberikan tekanan kepada pasukan lawan apabila mereka menjaringkan gol. Ia juga akan menaikkan keyakinan lebih kepada pengambil sepakan kedua pasukan mereka.
ABBA lebih baik?
Beliau memberikan komen tentang sistem ABBA.
“Sistem ABBA ini perlahan-lahan semakin diterima dalam bola sepak. Ini bermaksud, pasukan A akan sepak dahulu, kemudian B. Dalam pusingans seterusnya, pasukan B pula memulakannya.”
“Sistem ABAB memberikan tekanan psikologi kepada pasukan yang sentiasa menjadi kedua dalam setiap pusingan. Oleh itu kelebihan pasukan yang memulakan dahulu adalah 60/40.”
“Jadi, ABBA memberikan peluang 50-50 dan lebih adil.”
EFL musim ini sudah menggunakan sistem ABBA dalam penentuan penalti mereka di peringkat domestik. FIFA juga sudah menggunakan sistem ini dalam Piala Dunia B-20.
Namun di Rusia, dilaporkan sistem ini tidak akan digunakan. Hail itu sudah disahkan David Elleray, Pengarah Teknikal IFAB.
Palacios-Huerta antara individu yang penting dalam ujian (trial) ABBA ini dalam bola sepak.
“Buat masa ini, 34 penentuan penalti sudah menggunakan ABBA dalam proses ujian.”
“17 pasukan A menang dan 17 lagi dimenangi pasukan B. Sistem ABBA ini nampaknya sangat baik. Namun sampel kami masih sangat sedikit.”
“Buat masa ini, ABBA menunjukkan pasukan A dan B ada kelebihan yang sama adil.”
“Ini kerana, jika pemain memilih jadi A, mereka akan tidak akan memulakan setiap pusingan sebagai yang pertama.”
“Jika mereka memilih menjadi B, mereka tetap tidak akan menjadi yang kedua dalam semua pusingan.”
“Sistem ABBA ini telah menaikkan lagi situasi menang-menang walaupun ramai tidak menyedarinya.”