Pengurusan Terengganu Tagih Sentuhan Magis Tomislav Steinbruckner Untuk Saingan AFC

Terengganu bakal membuka tirai saingan Piala AFC mereka malam ini bagi peringkat Kumpulan G untuk bertemu wakil dari Australia iaitu Central Coast Mariners di laman sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ), Gong Badak.

Selepas 11 tahun menanti untuk melayakkan diri kembali ke saingan Piala AFC, pastinya harapan besar diletakkan oleh penyokong Sang Penyu yang mahu pasukan kesayangan mereka tampil positif untuk aksi pertama tersebut.

Malah, pengurusan Terengganu sendiri juga mahu pengendali pasukan iaitu Tomislav Steinbruckner tampil dengan strategi lebih ampuh untuk berdepan lawan yang dianggap kuat tersebut, kerana Central Coast Mariners merupakan juara A-League pada musim 2022/2023.

Berkelebihan beraksi di laman sendiri pastinya sesuatu yang tidak boleh dilepaskan oleh Steinbruckner untuk tampil lebih positif, apatah lagi Terengganu juga kini berada dalam momentum terbaik setelah mencatat beberapa keputusan cemerlang pada aksi lalu di peringkat domestik.

Menurut Ab Rasid Jusoh selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu, beliau sedar Sang Penyu bakal menghadapi satu cabaran yang getir jika dilihat pada reputasi lawan sebelum ini serta barisan pemain berkualiti milik mereka.

Walaupun begitu, Terengganu kini juga berada dalam motivasi cukup tinggi selepas kejayaan mereka sebelum ini menewaskan Selangor pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di gelanggang sama.

“Kami sedar pasukan yang bakal ditentang pada aksi pertama dalam peringkat kumpulan bukan calang-calang pasukan, mereka adalah juara Liga Australia musim lalu selain dipimpin bekas pemain tengah menyerang pasukan Johor.

“Namun pasukan kami tidak akan sesekali menyerah sebelum bertempur, pemain akan sentiasa memberi saingan sengit tanpa mengira pasukan lawan biarpun padat dengan jadual perlawanan termasuk saingan Piala Malaysia dan Liga Super.

“Malah barisan kejurulatihan yang diketuai Tommy (Steinbruckner) juga sudah membuat analisis berkaitan dengan pasukan lawan, bagaimanapun kami meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada barisan kejurulatihan agar dapat menerapkan strategi lebih ampuh dan perancangan yang berstruktur bagi menghadapi perlawanan itu dan akan datang.

“Buat pemain pula, mereka perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan mampu memperagakan aksi terbaik dengan mengikut perancangan barisan jurulatih,” katanya menerusi laporan dikeluarkan Harian Metro.

Untuk rekod, Steinbruckner memegang jawatan selaku pengendali utama pasukan sejak awal musim selepas ada beberapa rombakan dibuat Terengganu termasuk membabitkan para pemain.

Walaupun pada awalnya mereka mengalami kesukaran daripada segi konsistensi permainan, kini Terengganu mula tampil lebih baik serta merekodkan beberapa keputusan cemerlang.

Untuk aksi malam ini, pastinya para pemain seperti Sony Norde, Ivan Mamut, Engku Nur Shakir, serta ramai lagi bakal menjadi tumpuan untuk menggempur barisan pertahanan pasukan lawan.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN