Terengganu tampaknya ingin terus bergerak maju ke hadapan selaku antara kelab bola sepak di Malaysia, dengan terbaharu pengurusan pasukan berkenaan membuat lawatan kerja ke Thailand untuk membina hubungan bersama Buriram United.
Ianya dilaporkan sendiri secara rasmi melalui media sosial pasukan tersebut dengan menyatakan tujuan mereka melawat pasukan salah satu pasukan gergasi Asia Tenggara itu untuk membina perhubungan sesama mereka dalam dunia bola sepak.
“Pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) baru-baru ini telah mengadakan lawatan kerja ke salah sebuah kelab gergasi Thailand iaitu Buriram United.
“Lawatan kerja ini adalah bertujuan untuk membina perhubungan diantara kedua-dua kelab disamping membincangkan kerjasama yang dapat diwujudkan yang dilihat bakal memberikan kelebihan untuk kedua-dua pihak.
“Pihak TFCSB juga hadir adalah bertujuan untuk mendapatkan perkongsian dari Buriram United berkenaan pentadbiran kelab, pengurusan pemasaran dan perniagaan kelab serta konsep pembangunan bola sepak yang dijalankan oleh kelab ini.
“Ini adalah bukan kali pertama lawatan kerja seperti ini dilakukan oleh pengurusan ini. Jika di Malaysia, TFCSB juga pernah ke Johor Darul Ta’zim untuk lawatan kerja serta mendapatkan perkongsian untuk kemajuan kelab. Pengurusan kelab juga pernah ke BG Phatum FC sebelum ini juga dengan tujuan yang sama,” jelas kenyataan tersebut.
Pada masa sama, pengurusan Sang Penyu itu juga menyatakan mereka akan terus berusaha bagi memastikan kualiti kerja dapat ditingkatkan serta menjadikan Terengganu sebagai antara pasukan serba lengkap dan contoh buat kelab lain.
“Apa yang pasti, TFCSB akan terus menerus berusaha untuk meningkatkan lagi mutu pengurusan kelab dari setiap sudut agar Terengganu FC menjadi salah sebuah kelab yang serba lengkap dan boleh dijadikan contoh.
“Pihak Terengganu FC ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat pihak Buriram United FC atas segala kemudahan dan layanan yang telah diberikan kepada pihak Terengganu FC sepanjang berada disana,” ujar kenyataan itu akhir sekali.
Seperti diketahui, nama Terengganu sebelum ini dikaitkan bersama pertahanan kental Harimau Malaya yang kini beraksi bersama Buriram United dalam saingan Thai League 1.
Perkaitan itu dibuat sendiri melalui wartawan sukan, Hafizal Hamad bersama Zulhelmi Zainal Azam dalam sebuah rancangan di Astro Arena dengan memberi bayangan Cools bakal menyertai Sang Penyu.
Khabar tersebut dilihat kukuh, apabila Terengganu sendiri melakukan lawatan kerja mereka ke Thailand untuk bertemu pengurusan Buriram dan ada kemungkinan juga isu Cools turut dibincangkan sesama pengurusan kedua pasukan.
Dion Cools Mungkin Perkukuh Jentera Pertahanan Terengganu Musim Ini?
Apapun, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Buriram atau Cools sendiri mengenai perkara tersebut, dan ia bakal menjadi kejutan sangat besar jika bekas pertahanan skuad kebangsaan Belgium itu menyertai Terengganu pada saingan 2024/2025.
Apatah lagi, media Terengganu sendiri juga turut menafikan perkara tersebut di ruangan komen dengan menyatakan ia adalah tidak benar.
Pandangan anda, adakah ia sekadar cerita sensasi yang dicipta atau media Terengganu sengaja menafikan perkara tersebut seperti isu Manuel Ott lalu?