Quantcast

BERITA

Pengurus Besar PMOM Dari Eropah Jadi Buruan MFL

Malaysian Football League (MFL) mengesahkan penubuhan badan pengadil bebas iaitu Profesional Match Officials Malaysia (PMOM) berada dalam landasan tepat dan dijangka akan beroperasi pada tahun ini.

Ketika ini, MFL dalam proses pelantikan Pengurus Besar PMOM dan beberapa calon dari luar negara kini dalam penilaian mereka.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam yang menyifatkan pihaknya semakin hampir untuk merealisasikan pembentukan satu badan bebas pengadil bertaraf profesional.

“Kita sudah ada calon tetapi beliau sedang melihat sama ada boleh terima bekerja di luar negara atau tidak.

“Jadi kita kena tunggu dan bagi sedikit masa kerana calon-calon untuk menjadi pengurus besar PMOM sangat terhad dan apa yang saya dapat lihat orang yang ada pengalaman sebagai pengadil memang ramai namun kita juga mahu calon yang memiliki pengalaman dalam pengurusan.

“Kita ada tiga atau empat calon tetapi kita sudah fokus kepada seorang calon utama yang memiliki pengalaman luas. Katakan beliau boleh terima bekerja di Malaysia kemudian barulah kami boleh berbincang mengenai kontrak atau sebagainya.

“Jadi langkah pertama adalah memastikan sama ada beliau boleh berpindah ke Malaysia atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian pusingan kelayakan Shopee Piala FA 2019 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kevin menjelaskan perlantikan Pengurus Besar PMOM bukan semata-mata memiliki latar belakang pengalaman atau sijil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Dengan merujuk badan swasta seperti yang diperkenalkan oleh Liga Perdana Inggeris iaitu Professional Game Match Officials Limited( PGMOL), Kevin percaya mereka boleh melihat kepada skop lebih luas dalam pelantikan Pengurus Besar PMOM.

“Mungkin saya boleh terangkan FIFA dan AFC ini diibarat sebagai kerajaan bola sepak tetapi sektor swasta juga banyak antaranya PGMOL yang dilihat sebagai badan swasta dalam pengurusan pengadil.

“Jadi ia tidak bermakna seseorang pengadil profesional itu seharusnya memiliki status instraktur FIFA atau AFC,” tambahnya.