Tottenham Hotspur meneruskan rentak cemerlang apabila mencatatkan kemenangan keempat dalam lima perlawanan selepas berjaya menundukkan Leicester City 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Tottenham Hotspur Stadium.
Bagi yang tidak menyaksikan perlawanan tersebut, anda pastinya merasakan skuad bimbingan Jose Mourinho itu mendominasi permainan sehingga berjaya mencatatkan kemenangan selesa tersebut hasil jaringan sendiri James Justin dan dua gol lagi disumbangkan oleh Harry Kane.
Bagaimanapun, jangan terkejut kerana Tottenham hanya mampu mencipta 29.5 peratus sahaja penguasaan bola pada perlawanan tersebut.
Menurut sumber Opta, statistik yang dicatatkan tersebut merupakan penguasaan bola terendah yang pernah dicatatkan Tottenham sejak tahun 2012 dalam saingan EPL.
Hantaran tepat yang dilakukan oleh para pemain Leicester City sepanjang perlawanan ini cuba sudah cukup untuk menceritakan segalanya apabila mereka melakukan 608 hantaran tepat kepada rakan sepasukan manakala Tottenham hanya dengan 208.
Lebih menarik, mereka turut hanya mencipta tiga serangan tepat ke arah pintu gol Leicester dan dua daripadanya berjaya disempurnakan oleh Kane yang merupakan jaringan ke-17 buatnya pada musim ini.
FT | Spurs win!
Leicester had 71% of possession, 24 shots to Tottenham’s 7, completed 608 passes to Tottenham’s 208, but couldn’t even create a single big chance as the hosts held on to their half-time lead.
Spurs climb to 6th, Foxes are close to losing UCL football!#TOTLEI pic.twitter.com/4PBR0mY49v
— SofaScore (@SofaScoreINT) July 19, 2020
Pada perlawanan tersebut, Tottenham membuka tirai jaringan seawal minit keenam apabila percubaan daripada Son Heung-min terkena kaki James Justin lalu membolosi gawangnya sendiri tanpa mampu dihalang Kasper Schmeichel.
Kane kemudiannya melebarkan kedudukan pada minit ke-37 setelah serangan balas pantas dilakukan berjaya disudahkan dengan cukup baik penyerang berbisa itu selepas menerima umpanan cantik daripada Lucas Moura.
Hanya berselang tiga minit kemudian, Kane sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring susulan percubaan melencong yang diledakkannya terus mengecewakan Schmeichel untuk gol ketiga dan keputusan 3-0 itu kekal hingga tamat permainan.
Dalam perkembangan sama, kecemerlangan Hugo Lloris dalam menafikan kira-kira enam percubaan terbaik dimiliki Leicester City juga turut membantu kemenangan ke-16 Tottenham pada musim ini.
Kredit featured image: Tottenham Hotspur
Baca artikel lain dari kami mengenai Harry Kane: