Baru-baru ini Pengerusi FELCRA, Datuk Mohd Nageeb mengumumkan pasukan bola sepak FELCRA FC akan dibubarkan berikutan masalah kewangan dan kos operasi kelab itu yang agak tinggi.
Namun setakat ini, badan pengendali Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih belum memutuskan pasukan yang akan menjadi pengganti FELCRA FC dalam saingan Liga Super musim depan dan ia masih menjadi tanda tanya.
Sumber terdekat MFL berkata kepada Berita Harian, mereka belum menerima sebarang notis tentang penarikan diri FELCRA FC dan tindakan hanya akan diambil setelah menerima surat rasmi.
“Kena faham, pengurusan FELCRA FC adalah di bawah kelab berkenaan dan kami masih menunggu surat rasmi daripada pengurusan kelab itu.
“Biarpun Pengerusi FELCRA membuat pengumuman tentang pembubaran kelab, ia perlu mengikut prosedur dengan pengurusan FELCRA FC harus menyerahkan notis pembubaran itu.
“Daripada maklumat awal yang kami terima, FELCRA FC sudah mempunyai penaja yang sanggup melabur RM8 juta dengan RM3 juta lagi akan diperolehi atas perjanjian hak penyiaran liga.
“Jumlah keseluruhan akan menjadi RM11 juta dan kelab berkenaan sudah boleh bergerak. Namun kelab itu masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi dan kami rasa mereka masih kekal sebagai pencabar dalam kempen Liga Malaysia musim depan,” kata sumber itu.
Kapten kelab ini, Shahrom Abdul Kalam jelas kurang selesa dengan pembubaran FELCRA FC sambil menyatakan pihak pengurusan wajar mengumumkannya lebih awal daripada terus berteka-teki.
“Kami perlu tahu hala tuju kami dalam pasukan Felcra secepat mungkin,” ujarnya kepada Stadium Astro.
“Ini bagi memberi ruang kepada kami untuk berunding dengan pasukan-pasukan lain” ujar Shahrom Kalam yang pernah beraksi bersama-sama Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
Shahrom Kalam memilih untuk menyarung jersi FELCRA FC selepas meninggalkan Perak pada penghujung musim 2017 walaupun sebenarnya menjadi buruan pasukan-pasukan elit.
Sepanjang kempen Liga Premier musim ini, skuad yang dibimbing oleh jurulatih dari Brazil, Tarcisio Pugliese itu berjaya menempatkan diri dalam kalangan dua pasukan terbaik di penghujung musim 2018, yang membolehkan mereka bersaing di liga tertinggi di negara ini iaitu Liga Super musim depan.