Analisis: Adakah Benar JDT Ialah ‘Raja Penalti’ Bola Sepak Malaysia?

JDT penalti

Baru-baru ini dalam saingan separuh akhir unifi Piala Malaysia 2018 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC menyaksikan satu penalti telah dihadiahkan kepada JDT pada babak pertama.

Walaupun sepakan penalti itu telah disempurnakan oleh Fernando Marquez dan JDT mendahului perlawanan, namun Terengganu dibawah kendalian Irfan Bakti bangkit untuk mara ke final.

Ketika JDT mendapat penalti tersebut, timbul cakap-cakap di media sosial menyatakan JDT kerap dihadiahkan penalti. ‘J’enalti antara frasa popular di bibir para pengikut Liga Malaysia (Liga M).

Kami percaya perkara itu akan menjadi bualan jika JDT yang melangkah ke perlawanan akhir.

Oleh itu, Semuanya BOLA telah cuba untuk merungkai data-data penalti sepanjang saingan unifi Liga Super 2018 berlangsung dan siapakah sebenarnya ‘Raja Penalti’ untuk musim ini.

Jumlah jaringan penalti musim 2018

Disebabkan kekangan maklumat jumlah sebenar, data ini hanyalah jumlah penalti yang telah berjaya disempurnakan dan ia melibatkan pasukan-pasukan dalam saingan Liga Super sahaja.

Penulis yakin dan percaya, jumlah penalti yang telah gagal dijaringkan adalah sedikit dan mungkin hanya 1/10 daripada jumlah keseluruhan penalti yang telah berjaya dijaringkan.

Foto:JST

Jumlah penalti yang telah disempurnakan oleh para pemain Liga Super adalah sebanyak 42 gol iaitu kira-kira 10.4% daripada jumlah keseluruhan jaringan Liga Super musim ini iaitu 402 jaringan.

Dan sebagai perbandingan, jumlah tersebut juga kurang 5 gol daripada jumlah gol yang dihasilkan oleh JDT pada musim ini.

Perak tertinggi penjaring penalti

Sepanjang 22 minggu liga berlangsung, 42 sepakan penalti telah berjaya dijaringkan oleh para pemain dan Perak merupakan pasukan yang tertinggi dengan 7 penalti disempurnakan.

Juara Liga Super, JDT yang dikatakan kerap menjaringkan gol menerusi penalti pula berada di kedudukan kedua bersama-sama Kedah dengan 6 sepakan penalti berjaya disempurnakan.

Piala Malaysia

Seterusnya, finalis Piala Malaysia, Terengganu pula berkongsi dengan pasukan yang tersingkir ke Liga Premier 2019, Negeri Sembilan dengan 5 jaringan penalti berjaya disempurnakan.

Berikut merupakan pasukan yang terbanyak menghasilkan jaringan penalti sepanjang Liga Super 2018:

  1. Perak: 7 penalti
  2. JDT, Kedah: 6 penalti
  3. Terengganu, Negeri Sembilan: 5 penalti
  4. PKNS FC, Kuala Lumpur: 3 penalti
  5. Melaka United, Selangor: 2 penalti
  6. PKNP FC, Kelantan, Pahang: 1 penalti

Minggu yang tiada jaringan penalti

Sepanjang 22 minggu liga berlangsung, terdapat juga minggu yang tiada jaringan penalti dihasilkan. Ada lima minggu perlawanan yang tidak melibatkan jaringan penalti.

Minggu-minggu tersebut adalah minggu ke-3, ke-6, ke-16, ke-21 dan juga minggu terakhir, minggu ke-22.

Sumber: TFC, Facebook

Selain itu, terdapat 4 minggu yang merekodkan jaringan penalti tinggi iaitu minggu ke-8, ke-9, ke-19 dan juga minggu ke-20 iaitu sebanyak 4 jaringan penalti telah dihasilkan.

Purata 1.9 gol terhasil menerusi penalti setiap minggu dan ia agak tinggi jika dibandingkan dengan Liga Premier Inggeris (EPL), iaitu purata 1.4 gol menerusi penalti terhasil setiap minggu.

Perlawanan yang melibatkan lebih satu penalti

Jika ada minggu yang tiada jaringan penalti terhasil, tentu sekali ada juga perlawanan-perlawanan yang melibatkan lebih daripada satu jaringan menerusi sepakan penalti.

Terdapat tujuh perlawanan yang melibatkan lebih daripada satu jaringan penalti iaitu samaada kedua-dua pasukan mendapat penalti ataupun hanya satu pasukan yang memperolehinya.

Menariknya, pada minggu ke-9, hanya dua perlawanan diperlukan untuk menghasilkan 4 jaringan penalti iaitu perlawanan antara Negeri Sembilan vs JDT dan Perak vs Terengganu.

Kredit: Terengganu FC, Facebook.

JDT menang 4-0 ke atas Negeri Sembilan dan dua gol telah dihasilkan oleh JDT, sementara Perak pula menewaskan Terengganu 3-2, masing-masing menjaringkan satu penalti.

Selain JDT yang telah menghasilkan dua gol penalti dalam satu perlawanan, 3 pasukan turut menghasilkan rekod yang sama iaitu PKNS FC, Negeri Sembilan dan juga Perak.

Berikut adalah 7 perlawanan yang melibatkan lebih daripada satu penalti untuk satu-satu perlawanan:

  1. Minggu 4: Selangor 1-3 Pahang (Selangor 1, Pahang 1)
  2. Minggu 8: Kedah 3-3 Negeri Sembilan (Kedah 1, Negeri Sembilan 1)
  3. Minggu 9: Neri Sembilan 0-4 JDT (JDT 2)
  4. Minggu 9: Perak 3-2 Terengganu (Perak 1, Terengganu 1)
  5. Minggu 10: PKNS FC 3-2 Kuala Lumpur (PKNS FC 2)
  6. Minggu 13: Negeri Sembilan 3-1 PKNS FC (Negeri Sembilan 2)
  7. Minggu 20: Kuala Lumpur 1-5 Perak (Perak 2)

Jaring penalti dan menang perlawanan?

Adakah 42 gol yang terhasil menerusi sepakan penalti ini telah membantu pasukan-pasukan yang terlibat untuk memenangi perlawanan tersebut? Tentu sekali tidak.

Daripada 38 perlawanan yang menghasil jaringan penalti, hanya 63% daripadanya membolehkan pasukan tersebut memenangi perlawanan iaitu melibatkan sebanyak 24 perlawanan.

Rufino Segovia

Daripada 12 pasukan bertanding, hanya Selangor dan Kelantan yang gagal memenangi sebarang perlawanan walaupun berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.

Hanya 5 pasukan yang telah memanfaatkan semua penalti yang diperolehi untuk memenangi perlawanan iaitu Perak dengan 6 perlawanan, JDT (5), PKNS FC (2), PKNP (1) dan Pahang (1).

Kedah pula antara pasukan yang merekodkan penalti yang banyak namun juga gagal memenangi hampir 70% daripadanya iaitu 4 perlawanan kalah daripada 6 perlawanan.

Penjaring penalti terbanyak musim 2018

Walaupun Perak adalah pasukan yang terbanyak memiliki jaringan menerusi penalti, namun penyerang Negeri Sembilan, Falvio Beck Junior adalah penjaring terbanyak iaitu dengan 4 gol.

4 pemain berkongsi kedudukan kedua dengan 3 gol dihasilkan menerusi sepakan penalti iaitu Kipre Tchetche (Terengganu), Sandro (Kedah), Guilherme (KL) dan Gilmar (Perak).

Sebanyak 24 pemain terlibat dalam menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dengan JDT melibatkan 4 pemain yang berbeza, diikuti PKNS FC dan Kedah dengan 3 pemain berbeza.

Berikut merupakan senarai penjaring gol menerusi sepakan penalti untuk Liga Super 2018:

  1. Flavio Beck Jr (Negeri Sembilan): 4 gol
  2. Kipre Tchetche (Terengganu), Sandro (Kedah), Guilherme (KL) dan Gilmar (Perak): 3 gol
  3. Rufino Segovia (Selangor), Safiq Rahim (JDT), Leandro (Perak), Lee Tuck (Terengganu), Wander Luiz (Perak), Gonzalo Cabrera (JDT), Paulo Rangel (Kedah): 2 gol
  4. Jeon Woo-young (Melaka United), Do Dong-hyun (Kelantan), Forkey Doe (Pahang), Liridon Krasniqi (Kedah), Safawi Rasid (JDT), Safee Sali (PKNS FC), Jonathan Acosta (PKNS FC), Angel Guirado (Negeri Sembilan), Fernando Marquez (JDT), Shahrel Fikri (PKNP FC), Bruno Oliveira (PKNS FC), Yahor Zubovic (Melaka United): 1 gol

Penutup

Oleh itu, adakah JDT ‘Raja Penalti’ seperti dakwaan sesetengah pengikut Liga M? Berdasarkan statistik yang didapati daripada Liga Super ini, jawapannya tentu sekali tidak.

Perak ‘The Bos Gaurus’ merupakan pasukan yang terbanyak memiliki jaringan penalti dan juga memenangi kesemua perlawanan yang melibatkan sepakan penalti tersebut.

Tetapi masih terdapat saingan Shopee Piala FA dan unifi Piala Malaysia yang perlu diteliti untuk menentukan kebenaran mengenai JDT sebagai ‘Raja Penalti’ musim ini.

Penulis tinggalkan kepada para pembaca untuk membuat statistik dan pengiraan sendiri untuk baki dua saingan tersebut.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN