Pengendali utama Terengganu, Tomislav Steinbruckner mengakui beliau masih kurang berpuas hati dengan ketajaman dimiliki penyerang import pasukan tersebut iaitu Ivan Mamut.
Mamut yang menyertai Terengganu buat pertama kali musim ini berjaya meledak hatrik sulung beliau bersama pasukan tersebut, selepas menjaringkan tiga gol ketika perlawanan Piala Malaysia 2023 menentang Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers).
Ivan Mamut:
– Pemain pertama berjaya menjaringkan hatrik bersama Terengganu musim ini
– Pemain pertama berjaya menjaringkan hatrik bersama Terengganu sejak Kpah Sherman (2022)
– Penjaring gol terbanyak Piala Malaysia 2023 ketika ini
Foto: Shah Amirul untuk Semuanya BOLA pic.twitter.com/2e52N8Xn5w
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) August 4, 2023
Tampil dalam kesebelasan utama untuk aksi sulung itu, Mamut jelas memainkan peranan penting di posisi utama serangan untuk mencipta banyak peluang bagi mengatasi keampuhan pertahanan pasukan lawan.
Kemenangan 4-0 Terengganu berjaya dilakar menerusi tiga jaringan daripada penyerang dari Croatia itu serta satu gol tunggal diledak oleh Engku Nur Shakir untuk menamatkan malam gemilang Sang Penyu.
Walaupun sudah mencatat hatrik, Steinbruckner mengakui dirinya mahu Mamut untuk tampil lebih berbisa di hadapan gol pada aksi-aksi seterusnya bakal dihadapi mereka selepas ini.
“Ivan menjaringkan tiga gol dan mungkin boleh menjaringkan lebih lagi. Dia perlu menjaringkan gol kerana dia mempunyai kualiti tetapi kadang kala saya mengharapkan lebih darinya.
“Hari ini tiga gol baik untuknya dan juga pasukan dan saya jangkakan persembahan yang sama pada perlawanan akan datang,” katanya menerusi Harian Metro.
Musim ini menyaksikan Mamut antara penyerang yang menerima kritikan keras dalam kalangan peminat Sang Penyu, kerana beliau tampil tumpul di hadapan gol.
Hadir dengan saiz fizikal yang cukup tinggi, keupayaan sebenar Mamut jelas tidak konsisten dalam setiap perlawanan diharungi mereka selaku penjaring utama.
Pastinya tiga gol diledak beliau pada aksi menentang KL Rovers mampu untuk menaikkan motivasi Mamut bagi siri perlawanan seterusnya bagi memastikan kejayaan dapat dilakar bersama pasukan.
Pada masa sama, Steinbruckner juga memberi bayangan bakal merehatkan beberapa pemain utama mereka untuk aksi timbal balik seterusnya pada 18 Ogos nanti.
📄 | Statistik penuh perlawanan diantara pasukan Terengganu FC menentang pasukan KL Rovers FC dalam saingan #PialaMalaysia musim 2023.#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/C9poZhS91p
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) August 5, 2023
Ini secara tidak langsung dapat memberi ruang buat barisan pemain simpanan lain untuk tampil menyerlah dan memberi banyak pilihan buat Steinbruckner untuk mendapatkan rangkaian kesebelasan utama terbaik.
“Kami selesa mendahului empat gol dan ini adalah sasaran kami supaya kami dapat merehatkan pemain utama.
“Ia akan memberi peluang kepada pemain B-23 tahun seperti dalam perlawanan ini kerana ianya penting untuk masa depan kelab.
“Jika anda lihat, pada satu ketika, barisan belakang kami dibarisi pemain muda seperti Rahadiazli, Ubaidillah, Azam Azmi dan Safwan Mazlan yang mana mereka adalah pemain utama dalam skuad B-23 tahun kebangsaan,” katanya lagi.