Pengendali utama Sri Pahang, Fandi Ahmad tidak mahu anak-anak buahnya terus dihantui isu kecewa selepas mereka mencatat kekalahan 0-2 di tangan Kedah Darul Aman (Kedah) beberapa hari lalu di Stadium Darul Aman (SDA).
Sebaliknya, Fandi mahu para pemain Sri Pahang untuk kembali bangkit dan bermotivasi bagi mengharungi aksi seterusnya dengan lebih menyakinkan daripada segi corak permainan buat para penyokong setia Tok Gajah.
Awal musim ini, menyaksikan Sri Pahang sebenarnya menjadi antara pasukan paling konsisten dalam persaingan Liga Super biarpun tampil sedikit perlahan pada persiapan pra musim berbanding kelab lain.
Walaupun begitu, prestasi Sri Pahang kini dilihat sedikit menurun serta tidak konsisten untuk terus mencatat keputusan positif dalam setiap perlawanan diharungi mereka.
Malah, aksi ketika menentang Kedah menyaksikan pasukan tersebut tampil serba longlai di segenap posisi sehingga menyaksikan Sang Kenari lebih mendominasi perlawanan sehingga ke wisel penamat.
Menyedari hakikat kelemahan itu, Fandi menasihatkan kepada para pemain supaya tidak lagi melakukan sebarang kesilapan mudah yang menyebabkan mereka terus keciciran mata penting.
Malah, beliau juga mengakui sekiranya para pemain Sri Pahang lebih bijak menilai situasi dalam permainan ketika menentang Kedah, kekalahan tersebut mungkin tidak akan berlaku.
“Sri Pahang tidak boleh lagi melakukan kesilapan mudah hingga menyebabkan skuad itu kehilangan mata.
“”Pemain perlu sedar dan bangun kembali bagi mempertingkatkan prestasi dan kekuatan pasukan sekali gus bersaing dalam Liga Super.
“Kekalahan kepada Kedah tidak seharusnya berlaku jika pemain bijak dan memanfaatkan segala peluang.
“Kesilapan memberikan ruang kepada lawan menyebabkan Sri Pahang tewas sekali gus terlepas mata.
“Bagi saya, kekalahan kepada Kedah bukannya disebabkan faktor keletihan tetapi tuan rumah beraksi lebih baik,” kata Fandi menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Jelas siri kebangkitan perlu dibuat kembali oleh Tok Gajah selepas ini supaya dapat terus bersaing di kedudukan teratas serta mempamerkan kualiti permainan lebih menyakinkan.
Menerusi situasi semasa, berkemungkinan besar Fandi mungkin akan merombak sedikit barisan pemainnya terutama sekali membabitkan jentera pertahanan serta meningkatkan lagi kualiti serangan masa hadapan.