Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengakui beliau tidak pernah meletakkan sebarang sasaran buat pasukan tersebut untuk mendapatkan 100 jaringan dalam saingan Liga Super pada musim 2023.
Terdahulu, JDT berjaya mencipta kemenangan ke-23 mereka musim ini selepas pasukan tersebut tidak menghadapi masalah mengetepikan cabaran Kuching City di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Walaupun banyak menurunkan barisan pemain simpanan, JDT dilihat tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk menguasai permainan serta mengesahkan kemenangan 2-0 mereka mengatasi pelawat.
Musim ini, JDT telah pun mengesahkan kejuaraan mereka lebih awal dalam saingan Liga Super 2023, selepas pasukan tersebut mendahului jumlah mata dengan begitu jauh untuk diatasi mana-mana kelab lain.
Malah, pasukan tersebut juga begitu berbisa di posisi serangan selepas beberapa perubahan dibuat JDT pada awal musim ini dengan rekod semasa pasukan tersebut sudah pun menjaringkan 90 gol untuk saingan Liga Super.
Pasukan tersebut setakat ini masih mempunyai baki dua perlawanan liga untuk diharungi dengan cabaran seterusnya berdepan Sri Pahang serta Penang.
Walaupun begitu, Solari sendiri menegaskan beliau tidak meletakkan sebarang sasaran untuk para pemainnya menjaringkan 100 gol sebelum saingan ditamatkan.
“Sejujurnya itu bukanlah sasaran saya letakkan untuk menjaringkan 100 gol, apa yang diutamakan adalah mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan.
“Jika mereka mampu jaringkan 100 gol atau 1000 gol sudah tentu saya amat gembira tapi dalam permainan bolasepak kita harus konsisten dalam setiap perlawanan.
“Saya juga tidak pernah menyatakan kepada pemain yang kita perlu jaring kuantiti banyak, sebaliknya saya tekankan untuk mereka menjadi yang terbaik di atas padang dengan sentiasa mengikut strategi dan taktikal dibentuk,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Pada masa sama, Solari juga memuji kelibat pemain muda mereka iaitu Daryl Sham yang tampil menyakinkan ketika perlawanan membabitkan JDT bertemu Kuching City.
Beliau juga melihat kelemahan dihadapi mereka pada perlawanan tersebut untuk diatasi segera sebelum JDT berdepan Kawasaki Frontale bagi saingan AFC Champions League (ACL).
“Untuk aksi seterusnya, kami perlu segera perbaiki kelemahan sebelum berdepan Kawasaki Frontale dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di tempat lawan dan beberapa pemain yang saya rehatkan akan kembali menjalani latihan,” kata Solari akhir sekali.