Pengendali Central Coast Mariners iaitu Abbas Saad mengakui pemain tengah import Terengganu iaitu Habib Haroon sebagai antara pemain yang memiliki reputasi tersendiri untuk diawasi pasukannya malam ini.
Habib bukan lagi satu nama asing dalam saingan bola sepak Malaysia, selepas beliau sudah pun mewakili Terengganu sejak musim 2021 dan menjadi tonggak penting kepada pasukan tersebut.
🏴🏳️ WELCOME HABIB HAROON 🏴🏳️
Terengganu FC secara rasmi mengumumkan Habib Haroon selaku pemain tengah baru pasukan ini bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2021.#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite#WINBACKMISSION pic.twitter.com/SIs1dk0NEb
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) June 14, 2021
Pada usia 22 tahun, kelibat Habib di posisi tengah pasukan berkenaan jelas sangat berpengaruh selepas pemain itu mempunyai keupayaan cukup tinggi untuk mengawal tempo permainan serta memiliki dsya kreativiti mencipta serangan berbahaya.
Maka, tidak hairan Abbas menyifatkan Habib selaku salah seorang pemain berkualiti yang menjadi tumpuan untuk aksi malam ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.
“Saya memandang ke hadapan pertemuan menentang TFC kerana hasil analisis, corak permainan pasukan ini (TFC) adalah baik sehingga muncul naib juara Liga Super musim lalu selain agak konsisten sejak beberapa perlawanan lalu.
“Jadi saya ingatkan pemain agar berwaspada dan tidak boleh mengambil mudah pertemuan malam esok lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang lawan ditambah kualiti yang ada pemain lawan seperti kapten mereka, Habib Haroon.
“Namun pemain kami juga tidak kurang hebatnya, kami muncul juara liga pada musim lalu, lagipun kami sudah melakukan persediaan rapi sejak tahun lalu lagi, malah pasukan kami kali ini lebih muda dan tiada yang mengalami kecederaan, apapun kami akan berikan segalanya untuk perlawanan esok,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Terengganu selaku tuan rumah bakal melayan kunjungan wakil dari Australia iaitu Central Coast Mariners untuk saingan peringkat Kumpulan G bagi aksi Piala AFC 2023 dalam misi masing-masing mahukan kemenangan sulung.
Pada masa sama, Habib sendiri jelas sangat teruja untuk perlawanan sulung ini selepas beliau pernah beraksi buat pertama kali di pentas Piala AFC pada musim 2020 lalu bersama Al-Khalidiya SC.
“Sejujurnya kami sudah bersedia dan begitu teruja untuk berdepan kelab Australia itu lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri selepas kali terakhir Terengganu layak ke saingan Piala AFC ini pada 2021, namun terpaksa dibatalkan berikutan wabak pandemik Covid-19.
“Ini kali kedua saya bermain dalam saingan Piala AFC ini, sudah pasti ia saingan yang hebat seolah-olah seluruh dunia menyaksikannya dan semua pemain pastinya mahu bermain dalam saingan ini.
“Jadi saingan kali ini memberikan peluang buat kami bersaing hebat selepas gagal beraksi dua tahun lalu, kami berterima kasih kepada semua jurulatih dan pemain kerana musim lepas skuad kami berjaya layak ke saingan ini,” katanya pula.
🏴🏳️ HARI PERLAWANAN PIALA AFC 2023 : TERENGGANU FC (MAS) VS CENTRAL COAST MARINERS (AUS) 🏴🏳️
TERENGGANU FC (MAS) VS CENTRAL COAST MARINERS (AUS)
📆 20 September 2023 – RABU
⏰ 8.00 pm
🏟 Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin📲Pembelian boleh melalui dari aplikasi Terengganu FC… pic.twitter.com/7YoJkd2xsY
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) September 20, 2023
Selain itu, beliau juga menghargai pujian diberikan oleh Abbas mengenai kualiti dimilikinya bersama Terengganu, namun Habib menyifatkan ramai lagi rakan sepasukan lain lebih hebat.
“Bagi saya ia satu pujian, terima kasih dan saya gembira dengan pengiktirafan jurulatih itu, tapi Terengganu mempunyai ramai lagi pemain bagus,” katanya akhir sekali.