Pengenalan Kepada Tugas Perancang: Playmaker, Trequartista, Regista Dan Enganche

Perancang. Konduktor. Pencipta.

Kami tidak pasti apa lagi perkataan bahasa Malaysia yang sinonim dengan salah satu tugas paling penting dalam bola sepak – mencipta gol atau dalam bahasa Inggerisnya playmaking.

Jika dahulu media dan peminat bola sepak mengagung-agungkan nama penjaring gol, kini nama pencipta gol, atau playmaker dalam bahasa Inggerisnya, turut berada di satu taraf dengan keagungan penjaring gol.

Terima kasih kepada kesedaran taktikal peminat dan pengetahuan penganalisis bola sepak moden. Bercakap mengenai perancang, pelbagai nama muncul boleh difikirkan.

Michel Platini, Dennis Bergkamp, Wesley Sneijder, Mesut Ozil, David Silva, Toni Kroos, Luka Modric, Juan Roman Riquelme malah Franz Beckenbauer juga.

Semua nama ini menimbulkan satu persoalan: bolehkah perancang bermain di posisi selain daripada tengah?

Sebagai contoh, semasa di Dinamo Zagreb, Luka Modric beroperasi sebagai enganche dalam formasi 3-4-1-2. Tetapi di Tottenham Hotspurs dan Real Madrid, beliau beroperasi sebagai salah satu pemain tengah dalam formasi 4-4-2.

Dennis Bergkamp dan Michel Platini pula beroperasi sebagai penyerang. Pavel Nedved dan David Silva menjadi perancang utama pasukan mereka dari posisi pemain sayap. Franz Beckenbauer, Gaetano Scirea dan Franco Baresi sendiri pernah berfungsi sebagai perancang dari posisi pertahanan.

Enganche – perancang old school

Di Argentina, enganche – atau terjemahannya; cangkuk (the hook) – merupakan pemain perancang yang paling dipuja-puja oleh peminat bola sepaknya.

Maka tidak hairanlah pada tahun 2010, Boca Juniors sanggup menawarkan kontrak 4 tahun bernilai USD5 juta – termasuk membayar separuh cukai pendapatannya – walaupun pada ketika itu beliau sudah berusia 32 tahun dan kerap cedera.

Di Boca Juniors, Riquelme berfungsi sebagai perancang yang beroperasi di belakang 2 penyerang dalam formasi 4-3-1-2 atau 3-4-1-2.

Sebagai perancang, tugas utama Riquelme adalah menghubungkan jentera tengah dengan jentera serangan. Cuma sebagai enganche, Riquelme tidak banyak bergerak mencari ruang untuk menerima bola seperti perancang moden.

Sebagai enganche, Riquelme berfungsi sebagai ‘magnet’ yang akan menerima bola dan menarik pertahanan lawan ke arahnya. Hasilnya, rakan sepasukan Riquelme yang lain akan mempunyai banyak ruang dan lebih bebas untuk menyerang dan menjaringkan gol.

Sebagai magnet, beliau akan sentiasa diberi tekanan (closing down) oleh pemain lawan yang mahu merampas bola darinya. Tetapi Riquelme adalah pemain istimewa.

Walaupun diberi tekanan, Riquelme sentiasa mempunyai visi dan kemahiran teknikal yang tinggi untuk menghantar bola ke rakan sepasukan yang kosong (tiada pertahanan lawan berhampirannya).

Sebab itulah bukan sebarangan pemain boleh bermain sebagai enganche. Ada yang menganggap ia adalah baka yang digeruni di latin namun tidak pasti boleh hidup bila dieksport ke Eropah.

Beliau melalui karier yang sukar di Barcelona, namun memiliki karier gemilang di tempat lain terutama di Villareal.

Bagaimanapun dengan majoriti pasukan di Eropah gemar menggunakan pemain tengah defensif dan meletakkan 3-4 pemain tengah dalam taktikal mereka, enganche sedang mengalami kepupusan. Tetapi legasi pemain-pemain enganche tetap segar di memori peminat bola sepak Amerika Selatan.

Trequartista – pemain no.10 klasik di Eropah

Untuk mengatasi kelemahan dan limitasi enganche yang agak statik, jurulatih bola sepak mula meletakkan pemain yang lebih mobil (banyak bergerak) di posisi enganche beroperasi. Maka lahirlah trequartista yang bermaksud 3/4 dalam bahasa Itali.

Asal-usul trequartista adalah terma yang digunakan oleh media Itali untuk menggambarkan tugas Roberto Baggio yang bertindak sebagai hybrid penyerang dan perancang. Baggio sangat hebat sehinggakan beliau boleh membuat 2 tugas pada satu-satu masa.

Kami sentiasa mengagumi Itali dalam memberikan terminologi kerana mereka teliti dan bersungguh-sungguh.

Daripada Baggio, maka lahirlah pemain-pemain seperti Zinedine Zidane, Wesley Sneijder, Michael Laudrup, Rui Costa, Kaka, Jari Litmanen dan banyak lagi pemain no.10 yang lain.

Berbanding enganche yang tugasnya terhad untuk merancang serangan sahaja, trequartista boleh bermain sebagai penyerang atau perancang; bergantung kepada situasi dalam perlawanan dan kebijaksanaannya mengadaptasi.

Jika enganche adalah magnet yang statik, trequartista adalah magnet yang mobil. Mereka gemar menggunakan kelajuan, stamina dan pengetahuan taktikalnya untuk mencari ruang kosong untuk menerima bola (seperti perancang) sebelum menggelecek, membuat hantaran berbahaya atau membuat percubaan (seperti penyerang).

Kebiasaannya trequartista bermain dalam posisi 4-2-3-1 di belakang penyerang tunggal. Tetapi ada juga trequartista yang bermain di posisi penyerang seperti Francesco Totti, Alessandro del Piero dan Dennis Bergkamp.

Bagaimanapun seperti enganche, trequartista tidak aktif ketika pasukan mereka berada di fasa bertahan (kehilangan bola). Mereka lebih gemar berlegar-legar mencari ruang kosong supaya pasukannya boleh melancarkan serangan balas melalui visinya apabila pasukan dapat merampas bola.

Advanced playmaker/Central Winger – perancang moden Eropah

Ketika Mesut Ozil mula-mula bermain di Arsenal, ramai penganalisis dan peminat yang mengatakannya sebagai pemain yang malas. Ada juga yang menyebut mereka sebagai central winger ataupun pemain sayap tengah.

Apa yang mereka maksudkan adalah gaya permainannya yang hampir serupa dengan trequartista – tidak aktif dalam fasa bertahan.

Di England di mana semua pemain – termasuklah penyerang – mesti aktif dalam fasa bertahan, Ozil perlu mengubah gaya permainannya dari seorang trequartista kepada perancang yang lebih rajin, iaitu advanced playmaker.

Ozil sendiri mengaku beliau harus memperbaiki aspek pertahanan beliau pada 2014.

Secara asasnya, tugas advanced playmaker hanyalah sebagai perancang – seperti enganche – tetapi mereka jauh lebih aktif dalam fasa bertahan dan mobil daripada enganche.

Evolusi taktikal dunia juga membenarkan advanced playmaker untuk beraksi di posisi sayap – selain di tengah – seperti yang dilakukan oleh Pavel Nedved di Juventus.

Berbeza dengan pemain sayap klasik yang gemar membuat hantaran lintang, advanced playmaker/central winger di posisi sayap akan membuat larian dari kawasan sayap ke tengah untuk mencipta peluang-peluang gol.

Mereka diletakkan di kawasan sayap untuk mengelak daripada diikat oleh pemain tengah defensif lawan dan mengelirukan pasukan lawan secara keseluruhannya.

Regista – perancang acuan masa depan

Menurut penulis buku The Inverting Pyramid, Jonathan Wilson: Jika Wesley Sneijder adalah perancang klasik, Mesut Ozil adalah perancang kontemporari (terkini), maka Toni Kroos adalah perancang dari masa hadapan.

Atau dalam bahasa mudahnya, pada masa akan datang semua pasukan bola sepak mahukan perancang seperti Toni Kroos.

Berdasarkan evolusi taktikal pasukan-pasukan besar ketika ini, telahan Wilson ternyata tepat.

Ketika ini, pemain-pemain perancang dalam acuan Toni Kroos seperti Marco Veratti, Xabi Alonso, Andrea Pirlo, Michael Carrick dan Luka Modric merupakan pemain penting pasukan mereka.

Pemain-pemain ini menjadi tulang belakang pasukan kerana mereka kreatif, boleh membantu pasukan ketika dalam fasa bertahan, mempunyai kecergasan fizikal yang bagus dan paling penting – selesa merancang serangan dari bawah.

Inilah regista.

Kehadiran regista membolehkan pasukan mereka mendominasi penguasaan bola. Mereka bebas merancang serangan pasukan kerana mereka beroperasi jauh dari kawasan pemain tengah defensif lawan.

Apa yang menariknya, kehadiran regista memaksa penyerang lawan untuk menghabiskan tenaga bagi mengekang kebebasannya. Akibatnya penyerang lawan tidak mampu menyerang dengan efektif apabila peluangnya terhidang.

Berdasarkan trend taktikal yang lebih memihak regista pada masa akan datang, pemain-pemain muda seperti Sergi Samper, Marco Veratti, Ruben Pardo, Thiago Alcantra bakal menjadi aset buat pasukan mereka.

Kesimpulan

Perlu diingat, perancang bukanlah sebuah posisi dalam bola sepak kerana perancang boleh beraksi di mana-mana posisi di padang. Malah tidak mustahil pada satu hari nanti, lebih ramai perancang akan bermain di posisi bek seperti yang dilakukan dengan cemerlang oleh Marcelo (Real Madrid) dan Jordi Alba (Barcelona).

Bermula dari posisi bek kiri, Marcelo dan Jordi Alba gemar menyerang pertahanan tengah kanan pasukan lawan daripada bek kanan lawan. Berbekalkan sekuriti daripada regista seperti Toni Kroos dan Sergio Busquet, Marcelo dan Alba boleh fokus merancnag serangan.

Ini membolehkan pasukan mereka mempunyai sehingga 2-3 perancang serangan dan sukar dikalahkan.

Apa yang pasti, masa depan perancang pasukan tidak akan terhad kepada pemain no.10 sahaja lagi.

Baca: Inilah Caranya Pep Guardiola Memotivasikan Pemainnya Ketika Sesi Latihan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN