Penjaga gol muda berbakat negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman meletakkan harapan sangat besar buat dirinya untuk tersenarai ke Piala AFF B-23 yang akan berlangsung di Kemboja pada 14 hingga 26 Februari ini biarpun nama beliau antara yang dipanggil saat akhir untuk menyertai kem latihan pusat pasukan bawah 23 (B-23) kebangsaan.
Untuk mendapatkan kepercayaan ketua jurulatih, Brad Maloney maka beliau akan memberikan segala yang terbaik sekali gus merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan negara.
“Peluang untuk semua pemain ada tapi kepercayaan harus dipertanggungjawabkan kepada penjaga gol itu sendiri. Jadi peluang untuk saya berada dalam skuad Piala AFF kali ini mungkin lebih cerah. Saya harap dapat buat yang terbaik.
“Bagi saya, selama seminggu menjalani latihan di Sepanyol, agak berbeza seperti cuaca dan intensiti latihan. Apa yang saya belajar di sana, saya kena terapkan juga di sini, tak boleh ubah 100 peratus,” katanya pada Berita Harian.
Selain Sikh Izhan, tiga lagi pemain dari pasukan Selangor iaitu Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhammad Azrin Afiq Rusmini dan Harith Haiqal Adam Afkar menjadi empat wajah baharu yang dipanggil oleh Maloney dua hari lalu untuk menyertai latihan pusat dan memberi lebih banyak rangkaian pilihan pemain untuk dibawa beraksi.
Pasukan kendalian Maloney sudah pun selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja pada jam 11 pagi tadi (waktu tempatan) dan bakal membuka tirai aksi Kumpulan B untuk bertemu lawan mereka iaitu Myanmar di Stadium Prince pada 15 Februari ini.
Selepas itu skuad negara bakal berdepan dalam aksi kedua untuk menentang Laos di stadium yang sama pada 18 Februari sebelum aksi terakhir yang pada asalnya bertemu Indonesia di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari namun dibatalkan kerana pengunduran skuad garuda itu disebabkan wabak Covid-19.
Akhir sekali, tiga juara kumpulan beserta satu naib juara kumpulan terbaik bakal membuat perhitungan mengisi di slot separuh akhir yang bakal berlangsung pada 24 Februari manakala perlawanan akhir saingan tersebut pula dijadualkan pada 26 Februari.