‘Mereka Juga Makhluk Tuhan’ – Islam Melarang Keras Menyakiti & Menyeksa Haiwan

Kurt Zouma tendang kucing

Meskipun sudah memohon maaf di atas kesilapan menendang dan menampar kucing peliharaannya, Kurt Zouma nampaknya masih belum selamat kerana bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Akibat tindakannya itu juga, syarikat pakaian sukan jenama antarbangsa, Adidas telah pun mengambil keputusan untuk menamatkan ikatan dengan pemain antarabangsa Perancis sebagai pemain di bawah tajaannya.

Kedua-dua kucingnya itu kini di bawah jagaan Persatuan Diraja Untuk Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (RSPCA).

Lebih menyedihkan, Kurt Zouma merupakan salah seorang pemain berprofil tinggi beragama Islam yang dikenali di seluruh dunia. Tindakannya jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang mengutamakan sifat kasih sayang dan belas kasihan.

Balasan azab yang pedih

Walau apapun alasannya, tidak wajar menzalimi haiwan kerana ia juga makhluk ciptaan Tuhan yang perlu dilindungi dan disayangi, bukannya tempat untuk melepaskan geram.

Malah, perlu diingat Tuhan mencipta manusia dan haiwan dengan tujuan tertentu yang ada peranan untuk saling melengkapi antara satu dengan lain.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis yang berbunyi:

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله – صلى الله عليه وسلم – قال :  ( عُذّبت امرأة في هرّة ، سجنتها حتى ماتت ، فدخلت فيها النار ؛ لا هي أطعمتها ، ولا سقتها إذ حبستها ، ولا هي تركتها تأكل من خشاش الأرض )

Terjemahan Hadis:

Daripada ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Diazab  seorang wanita kerana kucing yang dipenjarakan (disimpan dalam satu tempat) sehingga mati, lalu wanita itu dimasukkan dimasukkan ke neraka, (kerana) dia (sengaja) tidak memberi makan dan minum (kepada kucing itu) sewaktu disimpan, tidak juga dilepaskan kucing itu untuk memakan apa-apa di atas muka bumi!”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari & Muslim)

Islam adalah agama yang amat melarang keras terhadap umatnya melakukan kezaliman dan penyiksaan terhadap sesama makhluk Allah termasuk haiwan, kerana perbuatan itu boleh menyebabkannya dicampakkan ke dalam api neraka.

Larangan ini jelas termaksud di sebalik cerita dalam hadis di atas mengenai seorang wanita yang diazab oleh Allah SWT hanya kerana seekor kucing yang diseksanya sehingga mati.

Orang-orang yang pernah melakukan penyiksaan terhadap sesama makhluk Allah termasuk penyiksaan terhadap haiwan seperti memukulnya, mencederakannya, membiarkannya dengan tidak memberi makan, tidak membersihkannya atau tempat tinggalnya, jika ia binatang pemeliharaan dan sebagainya hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT serta wajib meninggalkan segala perbuatan-perbuatannya itu.

Kita dianjurkan oleh agama yang mulia kita ini agar sentiasa berlaku ihsan terhadap haiwan kerana terdapat juga di dalam hadis sohih yang lain menceritakan berkenaan seorang wanita pengamal maksiat dari kalangan kaum bani Israel yang diampunkan dosanya oleh Allah SWT kerana memberi minum kepada anjing yang dalam kehausan.

Ihsan kepada binatang itu adalah merangkumi semua jenis tidak kiralah sama ada haiwan bernajis, tidak bernajis, halal atau haram dimakan.

Ini menunujukkan betapa luasnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-hambanNya yang berhati mulia.

Haiwan berbahaya

Terdapat nas yang membenarkan umat Islam untuk membunuh haiwan-haiwan tertentu. Ini kerana sesetengahnya mengancam nyawa manusia, melakukan kerosakan dan sebagainya.

Perkara ini dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman web rasminya yang menerangkan tentang jenis haiwan yang harus untuk dibunuh dalam Islam.

Di dalam nas, ia disebut dengan istilah haiwan fasiq iaitu haiwan perosak yang boleh membawa mudarat dan bahaya kepada manusia. Ini sepertimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْفَأْرَةُ وَالْعَقْرَبُ وَالْحُدَيَّا وَالْغُرَابُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ

Maksudnya“Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu: tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing gila atau ganas.”

Riwayat al-Bukhari (3314) dan Muslim (1198)

Lafaz “فَوَاسِق” berasal daripada bahasa Arab, iaitu (فَسِق) dan merupakan kata jama’ “فُوَيْسِق” iaitu “si kecil yang suka membuat kerosakan (kejahatan)”. Ia memberi makna sama, iaitu haiwan perosak, liar, buas, jahat, pengganggu, penceroboh dan berbahaya kepada manusia. (Lihat Lisan al-Arab, 10/310)

Perkataan “fasiq” pada haiwan adalah dengan maksud dicabut kehormatan pada sebahagian haiwan disebabkan sifatnya yang membawa kemudaratan, kehinaan dan kemusnahan kepada manusia. (Lihat Fath al-Bari, 4/45 dan Tuhfah al-Ahwazi, 3/375)

Lima jenis haiwan yang disebut sebagaimana yang diriwayatkan tidak bermaksud ia hanya khusus kepada lima jenis haiwan itu sahaja. Ia hanya merupakan salah satu bentuk i’tibar (contoh) dalam menyatakan jenis haiwan fasiq dan tidak menjadi dasar ketetapan dalam hujah dan hukum hanya bagi kelima-lima tersebut sahaja. Nabi SAW turut menyebutkan ular dan cicak dalam riwayat lain. (Lihat Fath al-Bari, 4/44)

Imam Ibn Daqiq al-Id menyebut: “Ini jelas menurut isyarat nas yang membolehkan membunuh kelompok haiwan tertentu, kerana sifatnya yang fasiq, yakni melampaui batas.” (Lihat Fath al-Bari, 10/208)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa haiwan-haiwan tertentu digelar fasiq disebabkan keluarnya hanya mengganggu dan membuat kerosakan di jalan yang biasa dilalui oleh haiwan tunggangan. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/97)

Haiwan-haiwan fasiq yang disebut itu kesemuanya memiliki sifat zalim yang mengancam kesejahteraan hidup. Di dalam yang hadis lain, turut disebut dengan bilangan yang berbeza. Akan tetapi kesemuanya adalah bagi menunjukkan persepakatan ulama tentang ‘illah sifat haiwan tersebut iaitu menyakiti (‘aqur), tidak bermanfaat dan suka melakukan kerosakan pada manusia. (Lihat Syarh Sunan al-Nasa’ie al-Musamma Zakhirah al-Uqba fi Syarh al-Mujtaba, 24/390. Lihat juga al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/184)

Berdasarkan perbincangan di atas, sememangnya terdapat haiwan yang dibenarkan untuk dibunuh di dalam Islam. Namun, kebenaran tersebut adalah di atas ‘illah tertentu seperti sifatnya yang suka melakukan kerosakan, boleh mendatangkan bahaya serta mengancam nyawa manusia. Disebabkan itu, ia dibenarkan untuk dibunuh. Ini juga boleh dikiaskan kepada haiwan lain yang boleh memberi bahaya kepada manusia seperti tebuan, lipan, labah-labah beracun, ular, buaya dan seumpamanya.

Peruntukan undang-undang

Berdasarkan undang-undang di negara kita, perbuatan menzalimi haiwan boleh didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang antara lain mengenakan hukuman keras termasuk penjara kepada mereka yang didapati bersalah.

Perbuatan menyepak, menendang, mendera atau mencacatkan anggota haiwan dikira sebagai kesalahan penganiayaan yang dilakukan dengan sengaja, sama ada haiwan dimiliki ataupun yang terbiar.

Begitu juga dengan tindakan tidak menyediakan makanan dan minuman serta meracun haiwan.

Akta 772 memperuntukkan beberapa seksyen khusus bagi kesalahan-kesalahan tersebut, iaitu Seksyen 29 untuk penganiayaan haiwan, Seksyen 30 (pembunuhan haiwan), Seksyen 31 (pemberian racun) dan Seksyen 32 (pelagaan haiwan).

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Penutup

Pendidikan berkaitan kesedaran melindungi dan menjaga kebajikan haiwan perlu diberi perhatian yang serius dan dipupuk sejak kecil jika mahu menangani masalah penganiayaan terhadap haiwan.

Ibu bapa pula perlu memikul tanggungjawab untuk mendidik anak-anak di rumah. Ironinya, walaupun kita tidak memelihara sebarang haiwan peliharaan, namun ibu bapa wajar mendidik anak-anak supaya dapat menzahirkan rasa kasih dan sayang terhadap haiwan secara umumnya.

Budaya menghormati hak haiwan perlu diterapkan dalam sanubari anak-anak sejak kecil umpama melentur buluh biar dari rebungnya supaya bila dewasa kelak, anak ini akan terus menyayangi haiwan.

Hentikan sebarang bentuk penganiayaan terhadap haiwan. Hargai dan iktiraf sumbangan haiwan yang banyak memberi manfaat kepada kehidupan manusia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN