“Pengajaran Berguna”- Pengendali JDT Akui Pemain Hilang Fokus Jadi Punca Bolos

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mempamerkan karakter mereka untuk sekali lagi menjadi pencabar kejuaraan Liga Super, setelah merekodkan kemenangan besar untuk mengatasi Kelantan pula di laman sendiri.

Walaupun baru terlibat dalam empat perlawanan, pasukan kendalian Esteban Solari itu jelas sangat cemerlang untuk meraih semua kemenangan serta meledak 17 gol secara keseluruhan.

Terbaharu, JDT telah pun menewaskan Kelantan menerusi keputusan penuh 5-1 di laman sendiri iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI), selepas masih segar akan kemenangan besar 7-0 sebelum itu ketika menghadapi cabaran Negeri Sembilan.

Jelas Solari, kemenangan tersebut jelas memberi kegembiraan buat diri beliau selepas menyaksikan para pemain kendaliannya mempamerkan karakter positif sepanjang 90 minit permainan.

Selain itu, beliau juga mengakui bukannya sesuatu yang mudah untuk pasukan bawah kendalian beliau mengekalkan konsistensi dalam setiap perlawanan, namun mereka tetap berjaya mencatat kemenangan besar.

“Bagi saya ini adalah perlawanan yang mencabar kerana selepas menang 7-0 ke atas Negeri Sembilan, secara psikologinya pasukan dituntut mengulangi kejayaan yang sama dan ianya bukan mudah tatkala beraksi di sebelah petang dengan keadaan cuaca yang panas.

“Bagaimanapun, pemain berjaya membuktikan kemampuan dan mendapat gol awal. Selepas itu, rentak permainan kita sedikit perlahan sebelum kembali menjaringkan dua gol pada babak pertama apabila mereka meningkat intensiti permainan.

“Walaupun sukar mengekalkan konsistensi pada setiap perlawanan, pemain tetap memberikan yang terbaik dan itu membuatkan saya cukup gembira dan berpuas hati dengan komitmen setiap pemain tidak kira pemain utama dan gantian,” katanya menerusi Harian Metro.

Pada perlawanan tersebut, JDT membuka tirai jaringan seawal tiga minit menerusi penyerang import mereka iaitu Diogo Luis Santo, sebelum Fernando Forestieri serta Endrick dos Santos turut mencatat gol bagi meletakkan tuan rumah 3-0 di hadapan Kelantan.

Bersambung di separuh masa kedua, pemain baharu JDT iaitu Juan Muniz berjaya mencatat nama selaku penjaring gol pada minit ke-55, sebelum Kelantan akhirnya menjadi pasukan pertama merobek gawang kelab itu menerusi Leandro Rolon.

Sebelum perlawanan tamat, tampil bintang muda negara iaitu Arif Aiman Hanapi untuk menjaringkan gol terakhir kelab tersebut, sekali gus mengesahkan kemenangan besar kedua buat JDT musim ini.

“Walaupun saya mengharapkan rekod tanpa bolos itu bertahan lebih lama, ia memberi pengajaran berguna Di mana ada masanya kita hilang fokus dan apa-apa boleh berlaku dalam bola sepak,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Solari akui dirinya enggan mengambil sebarang risiko untuk menurunkan khidmat penyerang berbisa JDT iaitu Bergson da Silva dan memberi kepercayaan tinggi buat Diogo.

“Walaupun sudah berusia, namun Diogo tetap komited melakukan larian dan memberi tekanan kepada lawan, pengalamannya yang luas turut membantu rakan sepasukan beraksi di tahap tinggi.

“Dengan merehatkan Bergson, saya menagih khidmatnya pada tahap 100 peratus pada perlawanan seterusnya menentang Selangor, Jumaat ini di gelanggang lawan” kata Solari akhir sekali.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN