Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang mempertimbangkan untuk menggunakan khidmat pengadil dari luar negara bagi mengadili perlawanan akhir Piala FA 2019 yang bakal berlangsung pada bulan depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menurut pengerusi jawatankuasa tersebut, Md Dali Wahid, kemasukan pengadil asing itu adalah untuk memantapkan lagi sistem pengadilan bola sepak tempatan.
Bagaimanapun, pihaknya masih belum memuktamadkan nama pengadil asing yang datang ke Malaysia untuk bertugas sebagai pengadil utama perlawanan tersebut.
“Saya sudah berjumpa dengan beberapa pihak dan menyatakan jika mahu memperkasakan lagi mutu pengadilan perlu membawa masuk segera pengadil asing terutama perlawanan akhir Piala FA 2019 nanti.
“Kita tidak mahu lagi peminat bola sepak mempersoalkan kredibiliti. Sebab itu, perlu segera berbuat demikian terutama pada perlawanan penting dalam masa terdekat ini,” katanya dalam Arena Metro.
Sebelum ini, badan pentadbir Liga Malaysia (MFL) memberi bayangan pengadil dari Liga Jepun dan Liga Perdana Inggeris akan dijemput untuk mengadili perlawanan Liga Super.
Selain itu, beberapa pasukan Liga Malaysia baru-baru ini mengemukakan aduan kepada FAM mengenai mutu pengadilan yang dilihat kurang memuaskan.
Malah, FAM turut menggantung beberapa pengadil tempatan yang mengalami masalah prestasi dan membuat keputusan yang meragukan sehingga menerima kecaman daripada penyokong bola sepak tempatan.
Dali menegaskan kehadiran pengadil dari luar negara bukanlah untuk menutup terus peluang kepada pengadil tempatan tetapi sebagai langkah untuk memantapkan lagi mutu pengadilan melalui perkongsian ilmu.
“Mutu pengadilan perlu diperbaiki menerusi perkongsian ilmu dengan pengadil asing yang sudah biasa mengadili perlawanan berprestij dan penting di liga luar negara,” katanya.