Sebelum aksi Liga Super 2021 membuka tirainya tempoh hari, mungkin tidak ramai yang menyangka Terengganu FC (TFC) mampu menjadi pasukan yang mampu mencabar kejuaraan.
Namun selepas tiga perlawanan, skuad kendalian Nafuzi Zain itu masih mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dengan melakar tiga kemenangan berturut-turut dan kini menduduki tangga kedua liga di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim yang hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan.
Pemain sayap TFC, Mohd Faisal Abdul Halim mendedahkan antara ramuan yang menjadikan pasukan dari pantai timur itu menampilkan aksi cemerlang untuk permulaan musim ini adalah semangat tinggi dan komitmen yang ditampilkan oleh semua pemain terutamanya pemain-pemain muda.
Sekalipun tanpa deretan pemain bintang atau nama-nama yang berprofil tinggi, ia tidak menjadi halangan untuk setiap ahli pasukan mematuhi setiap perancangan dan taktikal yang telah diterapkan oleh jurulatih berusia 42 tahun itu.
“Sebelum datang ke sini, saya ingatkan setiap pemain akan sentiasa diletakkan tekanan untuk menang namun nyata cara di sini berbeza di bawah jurulatih, Nafuzi yang ada caranya tersendiri disenangi semua,” ujar Faisal yang ditemubual oleh media MFL.
“Suasana di sini lebih santai dan kami berasa lebih mudah untuk bermain tanpa ada rasa bebanan, itu menjadi salah satu faktor utama kami berjaya bermain agak baik dalam setiap perlawanan.”
Tambah bekas pemain Pahang itu lagi, beliau dan rakan sepasukan begitu selesa bekerja dengan Nafuzi, yang menggunakan pendekatan yang tenang dan tidak akan meletakkan tekanan kepada pemain.
Dalam masa sama, dia juga gembira kehadiran Jordan Mintah dan Dechi Marcel N’Guessan yang dinaikkan dari TFC II turut membantu kekuatan pasukan selepas kehilangan Chris Herd, Petrus Shitembi (kecederaan ACL) dan David da Silva.
“Kami membuktikan di dalam pasukan ini walaupun majoriti terdiri daripada pemain muda, kami ada kualiti untuk pergi lebih dalam saingan Liga Malaysia selepas mampu meraih kemenangan dalam semua perlawanan setakat ini,” katanya lagi.
“Pemain import seperti Mintah dan Marcel jelas mahu dapatkan ruang bermain di Liga Super dan mereka membalas kepercayaan diberikan dengan banyak membantu pasukan dalam semua perlawanan yang dilalui.”
Faisal muncul penjaring gol pertama ketika TFC menang bergaya 2-0 di Stadium Perak. Namun pemain berusia 23 tahun itu enggan pasukannya dilabel sebagai pencabar utama kepada JDT memandangkan perjalanan liga masih jauh.
“Saya gembira kerana mampu meledak jaringan pertama dengan TFC pada perlawanan semalam yang seterusnya mampu meningkatkan lagi motivasi saya untuk harungi musim ini.
“Terlalu awal sebenarnya untuk memperkatakan peluang kami untuk musim ini kerana baharu tiga perlawanan sahaja dilalui tetapi permulaan sebegini cukup penting dalam membina keyakinan dalam diri pemain.
“Saya hanya mahu memikirkan satu persatu perlawanan dengan pasukan dan apa sahaja keputusan di akhir musim, saya serta rakan-rakan mengharapkan keputusan yang baik buat pasukan,”
Aksi seterusnya buat TFC ialah bertemu Melaka United di laman sendiri iaitu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu ini.
Kredit Foto: Terengganu FC
Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).
Baca jug artikel kami yang lain mengenai Terengganu FC:
Asnan Ahmad Tak Lupa Jasa UKM FC, Tekad Bantu TFC Raih Kejayaan
Kesempatan Beraksi Di Pentas Lebih Tinggi Gamit Faisal Halim Sertai TFC