Ini Pendapat Klopp Mengenai Cristiano Ronaldo Dan Messi

Ronaldo Messi

Dominasi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dalam era bola sepak moden ini sememangnya menjadi fenomena yang cukup hebat terutamanya buat para pencinta bola sepak Eropah.

Peminat kedua-dua pemain ini juga seringkali ‘berperang mulut’ dalam usaha mereka untuk mempertahankan serta membuktikan kehebatan pemain pujaan masing-masing.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp juga tidak terkecuali untuk berkongsikan pendapat peribadinya tentang bintang dunia kelahiran Argentina dan Portugal ini.

Tanpa berselindung, Klopp memilih Messi sebagai pemain yang lebih menjadi kegemarannya tetapi tidak juga menafikan kehebatan dimiliki Cristiano Ronaldo sepanjang kariernya.

”Bagi saya [pilihan] adalah Messi, tetapi saya tidak boleh mengagumi Ronaldo dengan lebih daripada apa yang saya telah lakukan.”

”Penjelasannya adalah seperti berikut. Kami [Liverpool] telah bertemu dengan mereka dan kedua-dua mereka memang amat sukar untuk diatasi,” ujar Klopp menurut sumber Goal.

Embed from Getty Images

”Tetapi Messi mempunyai tubuh badan yang lebih rendah sejak dilahirkan. Sekiranya anda dapat menggambarkan diri anda sebagai pemain yang sempurna, maka tubuh badan Ronaldo menjadi gambarannya. Dia boleh melompat dengan tinggi, berlari dengan pantas seperti yang dilakukan oleh Ronaldo.”

”Dan bahkan apabila bercakap tentang sifat keseluruhannya, dia jelas hampir sempurna dan profesional, tidak ada yang lebih baik.”

”Dan di sisi lain pula terdapat Messi yang kecil dimana dia membuatkan segalanya tampak sangat mudah. Dan kerana itu saya lebih menyukainya sebagai seorang pemain di atas padang. Tetapi Cristiano juga merupakan seorang pemain yang sangat luar biasa.”

”Kerana itu amatlah sukar [untuk memilih yang terbaik antara kedua-duanya], tetapi yang menjadi persamaan buat kedua-duanya adalah mereka berada di kemuncak prestasi pada tempoh agak lama.”

”Terdapat beberapa pemain muda mempunyai potensi hampir serupa dengan mereka, tetapi untuk melakukannya dalam jangka masa panjang, ia adalah sesuatu yang luar biasa,” ujar Klopp lagi.

Kredit foto: Philipp Schmidli/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai perbandingan diantara kedua-dua bintang dunia ini:

Leave a Reply