Pencabar Baharu Liga 1 Indonesia, RANS Nusantara Sekadar Sasar 10 Terbaik Musim Ini

Pendatang baharu saingan Liga 1 Indonesia musim akan datang iaitu RANS Nusantara dilihat sangat realistik ketika membuat sasaran biarpun mempunyai kewangan yang kukuh serta dibarisi para pemain handalan.

Dengan kelibat beberapa nama pemain agak berpengalaman seperti Cristian Gonzales, Ady Septiawan serta tonggak kebangsaan Mali iaitu Makan Konate menjadikan skuad tersebut bakal mendapat ramai penyokong Indonesia.

Selain RANS Nusantara, dua lagi kelab yang mendapat promosi untuk ke saingan Liga 1 ialah Dewa United serta Persis Solo dan pastinya persediaan tiga pasukan ini dibuat rapi agar tidak sekadar menjadi penumpang musim hadapan.

Untuk RANS Nusantara, beberapa bentuk persediaan rapi telah dibuat sepanjang pra-musim ini termasuk aksi persahabatan menentang Persija Jakarta di Stadium Mukti beberapa hari lalu.

Skuad kendalian jurulatih berpengalaman iaitu Rahmad Darmawan ini dilihat mempunyai sasaran tertentu untuk cuba mencabar pasukan-pasukan besar lain pada musim hadapan.

Mengapa sasaran 10 pasukan terbaik sahaja?

Walaupun menjadi pasukan baharu musim ini menyertai Liga 1 Indonesia, kelibat kelab tersebut tidak boleh dianggap mudah oleh pasukan lawan kerana kualiti pemain dimiliki mereka sangat baik.

Tambahan lagi pemilik kelab iaitu Raffi Ahmad dan Roofi Ardian telah membuat persediaan yang sangat bagus setakat ini untuk menjadikan RANS Nusantara mampu bersaing secara sengit dalam saingan liga tertinggi Indonesia tersebut.

Menurut Roofi selaku Presiden RANS Nusantara, beliau menganggap sasaran 10 pasukan terbaik musim 2022/2023 ini dilihat sebagai sangat realistik.

“Saya tidak meletakkan sasaran yang besar buat kelab. Kalau mampu, berada di kedudukan 10 kelab terbaik sudah memadai.

“Pada awalnya kami ingin meletakkan sasaran sebagai lima pasukan terbaik, namun ianya ditarik semula dan menetapkan 10 terbaik pun sudah baik

“Kelab ini pun masih baru dibentuk, rata-rata pemain masih cuba mendapatkan persefahaman antara satu sama lain.

“Kelab kami bukannya sudah kuat dan ada persefahaman tinggi lagi. Kami pula baru mendapat promosi ke saingan Liga 1 musim baharu ini. Jadi anggap pasukan ini kembali bermula dari kosong,” jelas Roofi menerusi Bola.com.

Untuk perlawanan pembukaan mereka dalam saingan Liga 1 akan datang, RANS Nusantara bakal berdepan PSIS Semarang di tempat lawan iaitu Stadium JatiDiri pada 23 Julai ini.

“Menjelang perlawanan menentang PSIS Semarang ini, lawan dilihat sudah pun membuat persediaan yang rapi pada aksi pra-musim.

“Pengendali mereka bersama para pembantu pun sudah bercakap panjang lebar mengenai persiapan mereka, maka kami akan berikan yang terbaik pada aksi pembukaan liga nanti,” tegas Roofi.

Bakal menandatangani pemain import baharu?

Dalam masa sama, Roofi juga memberi bayangan mengenai status pemain import baharu walaupun setakat ini mereka sudah mendapatkan khidmat pemain dari Jepun iaitu Mitsuru Maruoka.

Menurut Roofi, pemain tersebut akan tiba bersama pasukan tidak lama lagi, namun tidak akan beraksi pada perlawanan pertama saingan liga.

https://www.instagram.com/p/Cdu6RTpPH5V/?igshid=YmMyMTA2M2Y=

“Pemain import tersebut bakal tiba tidak lama lagi. Kita tidak sempat menurunkan pemain ini pada perlawanan pertama nanti.

“Beliau mungkin bakal membuat penampilan pada perlawanan kedua nanti. Mengenai identiti pemain tersebut, kami akan mengumumkannya sendiri,” terang Roofi kepada media.

Sumber:
Bola.com

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN