Penang FC mengumumkan perancangan musim depan disamping memberi gambaran pelan pembentukkan pasukan pada musim 2023 dengan Manzoor Azwira Abdul Wahid akan kembali sebagai ketua jurulatih.
Ini yang lebih menarik perhatian para penyokong Penang FC apabila bekas pengendali yang kini bertugas sebagai penolong jurulatih kepada Tomas Trucha itu dikhabarkan akan kembali sebagai peneraju pasukan.
Manzoor Azwira adalah jurulatih yang membawa perubahan kepada gaya permainan Penang FC, meraih dua kali tiket ke Liga Super 2020 dan 2021 – kelayakan pada 2020 dibatalkan akibat masalah tunggakan gaji, malah membawa mereka menjuarai saingan Piala Premier buat kali pertama dalam sejarah pada musim 2020.
Manzoor Azwira: Terima Kasih, Inilah Hadiah Istimewa Kepada Para Penyokong
Menurut kenyataan itu, “Coach Manzoor Azwira dikekalkan sebagai Penolong Jurulatih 1, sebagai persediaan untuk mengambil alih tugas sebagai Ketua Jurulatih pada tahun 2023 apabila selesai kursus AFC Pro Diploma dan layak untuk dilantik memegang jawatan sebagai Ketua Jurulatih pasukan Liga Super Penang FC [2023].”
Gambaran awal sebegini memudahkan semua pihak membuat perancangan bagi dua musim ke depan. Malah pelan ini juga memastikan kesinambungan kepimpinan pada 2023 akan berlangsung lancar. Turut diumumkan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berpindah seketika sebagai Ketua Jurulatih skuad Piala Presiden untuk musim ini.
Ini bagi membolehkan, pada musim 2023, Akmal Rizal akan kembali semula ke posisi Penolong Jurulatih skuad utama selepas Manzoor Azwira diangkat ke teraju utama. Turut diumumkan kehadiran bekas Ketua Jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt sebagai Penolong Jurulatih II yang telah dikosongkan sementara oleh Akmal Rizal.
Mengapa Penang FC melantik Chong Yee Fatt sebagai Penolong Jurulatih sedangkan beliau ada Lesen Pro AFC seperti Tomas Trucha? Menurut kenyataan, “Susulan perkhabaran awal yang diterima berhubung kemungkinan dikenakan syarat untuk mempunyai dua orang jurulatih dengan kelayakan lesen AFC Pro Diploma.”
Chong Yee Fatt could return to the dugout, and it is looking likely that he will join Penang for the new season. Thomas Trucha could be the technical director. Shall wait for the club to share updates. #MFLTransfer2022
— T. Avineshwaran (@avineshW90) December 7, 2021
Dengan pengumuman rasmi tersebut, segala misteri telah dirungkai dan kerisauan penyokong telah terjawab.
Namun, bagaimana kedudukan Tomas Trucha? Beliau hanya dikekalkan sebagai Ketua Jurulatih untuk musim 2022 dan kedudukannya pada musim 2023 tidak dapat dipastikan. Mungkinkah beliau akan dilantik sebagai Pengarah Teknikal Penang FC selepas ini? Hanya pengurusan tertinggi pasukan yang lebih mengetahuinya.
Untuk rekod, Manzoor Azwira dan Akmal Rizal akan mengikuti kursus kejurulatihan AFC Pro Diploma selepas ini.