FA Penang berharap agar bekas pemain pasukan itu yang terpalit isu gaji agar memberikan persatuan itu sedikit lagi masa untuk melunaskannya.
Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Presiden Penang FA, YB Dr. Amar Pritpal Abdullah dalam satu kenyataan untuk tujuan siaran media yang dikongsikan di laman rasmi Facebook persatuan itu pada hari ini.
Menurut Dr. Amar Pripal, pihak Penang FA tidak pernah lupa akan tanggungjawab mereka terhadap beberapa pemain yang sudah tidak bersama pasukan, walaupun kini sedang rancak mempersiapkan pasukan bagi menghadapi cabaran musim baharu.
“Di dalam kerancakan untuk mempersiapkan pasukan bagi memulakan musim 2020 dengan kemasukan pemain-pemain baharu, pihak Persatuan Bolasepak Pulau Pinang tidak pernah lupa akan tanggungjawab terhadap beberapa pemain yang sudah tidak bersama pasukan,” kata Pritpal.
“Isu kelewatan pembayaran gaji terakhir yang masih belum diselesaikan sentiasa menjadi keutamaan pihak kami.
“Justeru, persatuan amat berharap agar para pemain yang terlibat dapat memberikan kami sedikit masa lagi untuk menyelesaikan isu kelewatan pembayaran ini.”
Untuk musim akan datang, Penang FA bakal dibarisi beberapa muka baharu.
Antatanya ialah Lee Chang Hoon, Khairu Azrin, Raffi Nagoorgani, dan Zamri Ramli. Skuad Harimau Kumbang juga turut mengesahkan khidmat pemain import musim lalu, Casagrande turut dikekalkan.
“Mempersiapkan pasukan juga amat penting bagi kami oleh kerana semua pasukan inginkan pemain-pemain yang berkualiti untuk diserapkan di dalam pasukan, namun isu kelewatan pembayaran gaji sentiasa diberikan perhatian serius dan akan diselesaikan dengan kadar segera,” tambah beliau lagi.
Tamat saingan pada musim lalu, Penang FA telah mengumumkan pelepasan 17 pemain. Antaranya ialah Afiq Azmi, Azrul Ahmad, Zamer Selamat, Wan Mohd Syukri, Abdul Aziz Ismail, dan A. Segar.
Menurut Penang FA kesemua 17 pemain ini sudah tamat kontrak dan tidak akan ditawarkan kontrak baharu untuk menghadapi saingan pada musim hadapan.