Pengendali baharu Penang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli memberi bayangan pasukan tersebut berkemungkinan besar akan mendapatkan pemain baharu yang kini beraksi dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar.
Terdahulu, Akmal secara rasminya telah pun dilantik selaku ketua jurulatih baharu Penang selepas beliau menampilkan kualiti tersendiri bersama skuad MFL pada tahun lalu.
Malah, Akmal juga sempat mempamerkan sentuhannya tersendiri ketika Penang menghadapi beberapa lagi baki perlawanan tahun lalu untuk saingan Liga Super 2023.
Penang tampil dengan aksi tidak konsisten pada tahun lalu walaupun mereka sudah membuat rombakan besar pada awal musim dengan turut melibatkan para pemain baharu.
Kekalahan serta kualiti hambar dipamerkan Penang itu menjadikan segelintir besar penyokong mereka meluahkan rasa tidak berpuas hati di media sosial serta menuntut perubahan lebih baik.
Untuk awal tahun 2024 ini, Penang telah pun memperkenalkan barisan kejurulatihan baharu pasukan dengan Akmal dilantik sebagai pegendali utama mereka bagi saingan Liga Super musim hadapan.
Menurut Akmal, pasukan tersebut sudah pun mencapai 90% daripada segi pembentukan dan kini mereka sedang mengintai beberapa pemain baharu untuk ditandatangani.
Lebih menarik, menurut laporan dikeluarkan Berita Harian pasukan itu turut mengintai beberapa pemain yang kini sedang beraksi dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar.
Selain itu, Akmal juga menyatakan hanya Rafael Vitor sahaja tonggak import yang dikekalkan pasukan berkenaan dan beberapa pemain lagi sedang berada dalam perbincangan untuk dibawa masuk.
Vitor yang sudah pun beraksi selama beberapa musim bersama Penang dianggap berjaya mempamerkan konsistensi tersendiri daripada segi corak permainan terutamanya dalam situasi bertahan.
“Bagi pemain import, setakat ini kita hanya mengekalkan khidmat Rafael Vitor dan kini masih dalam perbincangan untuk membawa masuk beberapa pemain lagi yang dilihat berpotensi,” katanya menerusi Berita Harian.
Pastinya Penang tidak rela mengulangi kisah musim lalu yang sangat tidak konsisten dengan beberapa perubahan baharu ditagih terutama daripada segi kualiti permainan pemain import.
Pada pandangan anda, pemain dan posisi apakah yang menjadi sasaran utama Penang ketika ini untuk mengharungi aksi pada musim hadapan?