Liverpool kembali menerajui carta Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah jaringan melalui sepakan penalti James Milner mengelakkan mereka daripada tercicir mata berhadapan pasukan di tangga kedua tercorot liga, Fulham.
Ia sepatutnya perlawanan yang mudah buat anak buah Jurgen Klopp – sekiranya kedudukan di atas kertas diambil kira – setelah mendahului melalui jaringan Sadio Mane pada minit ke-26 perlawanan.
Namun pasukan pelawat gagal menghukum pasukan tuan rumah, membenarkan Fulham kembali bangkit untuk mencabar dalam perlawanan ini.
Kekeliruan yang berlaku di antara Virgil van Dijk – pemain pertahanan termahal dunia – dan penjaga gol Alisson Becker membenarkan Ryan Babel untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-74 perlawanan.
Ia seakan-akan Babel kembali untuk menghantui bekas pasukannya itu.
Namun penjaga gol Fulham, Sergio Rico kemudiannya melalui detik kesilapan beliau sendiri yang turut membawa padah. Gagal mendakap kemas percubaan melencong Mohamed Salah, Rico mengasari Mane yang cuba mendapatkan bola yang lolos.
James Milner yang dimasukkan sebagai pemain gantian untuk Adam Lallana pada minit ke-72 tenang menyepak masuk sepakan penalti yang diberikan – untuk ‘angin kejuaraan’ kini beralih ke Liverpool.
Skuad kendalian Jurgen Klopp kini memiliki kelebihan dua mata ke atas Manchester City yang mempunyai satu perlawanan dipinda – sepatutnya dijadualkan menentang Manchester United – yang dipinda ke tarikh lain disebabkan penglibatan kedua-dua kelab Manchester itu di saingan Piala FA.
Kredit video: Stadium Astro