Perlawanan Persahabatan B-22: Jaringan Nik Azli Selamatkan Skuad Negara Berdepan Australia

Skuad negara

Jaringan minit akhir yang dihasilkan Nik Azli Nik Alias berjaya menyelamatkan skuad negara dari menerima kekalahan selepas seri 1-1 berdepan Australia di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Australia yang dibimbing Graham Arnold mempamerkan corak permainan cukup tersusun terutamanya pada separuh masa pertana dalam usaha memecah masuk benteng skuad negara.

Penjaga gol skuad B-22 negara, Haziq Nadzli sudah pasti menjadi tumpuan pada babak pertama apabila beberapa kesilapannya hampir memakan diri.

Haziq lewat mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya pada minit ke-11 apabila Nicholas D’Agostino hampir berjaya mendapatkan bola.

Mujur Haziq lebih pantas untuk menghalang kemaraan D’Agostino bagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Dua minit kemudian, Haziq Nadzli bertindak cemerlang menafikan rembatan padu Reno Piscopo dari luar kawasan penalti.

Benteng skuad negara terus menerima asakan dan hampir ketinggalan pada minit ke-25 tetapi percubaan D’Agostino yang sudah berjaya menewaskan Haziq dihalang Syamer Kutty Abba.

Setelah 28 minit tenggelam akibat dihujani serangan pasukan pelawat, skuad negara berjaya memberikan ancaman sulung ke kubu Australia.

Berpunca gerakan Syahmi Safari dari sebelah kanan pintu gol yang gagal ditangkap penjaga gol, Jordan Holmes memberikan peluang buat Akhyar Rashid yang tidak dikawal.

Namun begitu percubaan yang dilakukan Akhyar tersasar melewati palang gol.

Faisal Abdul Halim cuba melepasi kawalan pemain Australia.

Haziq Nadzli sekali lagi melakukan kesilapan pada minit ke-32 selepas beliau yang sudah berada di luar posisinya melakukan hantaran kepada Joe Champness.

Walaupun pintu gol sudah pun terbuka luas, Champness melakukan percubaan dari jarak jauh yang sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Malaysia.

Kemasukan Faisal Abdul Halim pada babak kedua jelas memberikan nafas baharu buat jentera tengah skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee.

Faisal melakukan gerakan solo ke dalam kawasan penalti Australia sekaligus melepaskan rembatan tetapi Holmes lebih bersedia untuk menafikan percubaan pemain Pahang pada minit ke-46 itu.

Gawang skuad negara akhirnya bocor pada minit ke-50 selepas Brandon Wilson berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru untuk membuka tirai jaringan.

Faisal terlepas satu lagi peluang terbaik untuk mencipta jaringan selepas percubaan susulan larian derasnya menuju kawasan penalti berjaya ditepis keluar penjaga gol gantian, Daniel Margush.

Mahu melebarkan kelebihan jaringan, Abraham Majok meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti selepas berjaya melepasi kawalan dua pertahanan negara, namun penjaga gol gantian negara, Damien Lim tidak berdepan masalah menafikan percubaan tersebut.

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan kekalahan buat skuad negara, Nik Azli Nik Alias muncul wira dengan jaringan penyamaan pada minit akhir perlawanan.

Selepas ini kedua-dua pasukan akan bersaing pada peringkat kelayakan Kejuaraan AFC B-23 2020 yang menyaksikan skuad negara diletakkan dalam kumpulan J bersama China, Laos dan Filipina.

Australia pula dalam kumpulan H bersama Korea Selatan, Kemboja dan Chinese Taipei. Malaysia akan beraksi di Shah Alam manakala Australia bakal berkampung di Kemboja.

Kredit foto: FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN