Jika dipandang dengan mata kasar, sepakan penalti nampak seperti satu tugas yang mudah untuk mereka yang mengambilnya.
Namun hakikatnya, ia adalah satu tugas yang sukar. Ia memerlukan fokus yang tinggi, mental yang kuat dan teknikal yang tinggi untuk memastikan sepakan penalti berjaya disempurnakan dengan baik.
Oleh itu, kami tunjukkan kepada anda cara asas untuk mengambil sepakan penalti. Serta kami tampilkan tips mengambil penalti dari bekas lagenda England, Matt Le Tissier.
Fokus
Untuk menjadi pengambil penalti yang baik. Anda perlu mempunyai minda dan fokus yang kuat ketika mengambilnya.
Anda perlu sentiasa fokus ketika hendak mengambil sepakan penalti serta perlu sentiasa tenang ketika mengambil sepakan penalti terutamanya ketika pada tekanan sedang memuncak.
Pastikan minda anda sentiasa terlatih dengan ketenangan di minda supaya fokus tidak terganggu. Sebelum mengambil sepakan penalti, bayangkan keputusan yang positif dari sepakan penalti tersebut di dalam minda anda.
Kekal fokus dengan memilih sudut mana yang anda mahu sepak bola itu ke dalam pintu gol. Tetapi jangan gunakan mata anda untuk mencari sudut itu, sebaliknya menggunakan fikiran minda anda.
Sebab mengapa jangan gunakan mata ketika mencari sudut adalah kerana penjaga gol boleh mengagak ke mana arah sepakan anda menerusi gerakan arah mata anda.
Selain itu, jangan halakan pandangan anda ke arah penjaga gol. Seeloknya, bayangkan saja penjaga gol itu tidak ada di gol tersebut.
Terus fokus terhadap bola, dan jangan hilang tumpuan. Jika hilang tumpuan, anda berisiko tinggi untuk menghasilkan satu sepakan penalti yang gagal.
Taktik
Apabila mengambil sepakan penalti, terdapat juga taktik yang dimainkan oleh penjaga gol untuk menggangu anda.
Hal ini kerana, penjaga gol akan menggunakan apa saja untuk menewaskan anda sebelum sepakan penalti diambil.
Jika penjaga gol datang kepada anda berkata sesuatu, jangan hiraukan beliau kerana beliau cuma mahu menggangu tumpuan anda.
Selain itu, jangan pandang ke arah penjaga gol ketika hendak mengambil sepakan penalti.
Hal ini kerana itu adalah peluang terbaik penjaga gol untuk menggangu anda dengan gerak tarian yang pelik. Ingat lagi tarian Jerzy Dudek ketika malam akhir UEFA Champions League 2005 yang menggangu tumpuan Andriy Shevchenko?
https://www.youtube.com/watch?v=v0qhkTTgxnQ
Jenis sepakan
Ketika menyepak, ada 2 cara untuk menyepaknya. Pertama menerusi kuasa sepakan anda dan kedua menerusi sepakan ke arah sudut sukar.
Jika anda memilih untuk merembat kencang bola itu ke gol, gunakan kekura kaki anda dengan hanya mengambil 4-6 langkah sahaja sebelum menyepak bola.
Kemudian, halakan bola itu ke sudut bawah gol. Hal ini kerana, rembatan padu ke sudut bawah gol adalah “hampir sukar untuk diselamatkan” apabila ia diambil dengan 4-6 langkah sahaja.
Untuk rembatan ke sudut sukar, gunakan sudut dalam kaki anda ketika mengambilnya. Jika anda memilih untuk mengambil sepakan sebegini, anda tidak perlu gunakan kuasa rembatan yang deras sebaliknya fokus sepakan anda untuk memastikan bola itu diletakkan ke sudut yang sukar.
Dan jika anda berani, anda boleh cuba mengelirukan penjaga gol dengan sepakan panenka seperti yang Andrea Pirlo pernah lakukan dahulu.
https://www.youtube.com/watch?v=CETF8hrXSbQ
Macam mana Matt Le Tissier lakukannya?
Kenapa kami pilih Matt Le Tissier (gambar bawah) untuk artikel kami? Hal ini kerana beliau mencatatkan rekod penalti paling baik dalam bola sepak profesional.
Beliau mempunyai rekod 98% penalti masuk dalam kariernya. Hanya gagal sekali sahaja dalam 50 penalti yang beliau ambil sepanjang karier beliau.
Tetapi bagaimana beliau lakukannya?
“Jika anda tiada rembatan yang padu, anda perlukan ketepatan yang sempurna. Oleh itu, gunakan kaki dalam anda untuk menjaringkan penalti.”
Bagi Le Tissier, anda perlu memilih satu sudut sahaja setiap kali penalti. Jika anda suka menyepak bola ke arah kanan gol, kekal dengan sudut itu.
Apabila menyepak, gunakan kaki dalam sambil menyepak sekuat mungkin ke sudut kegemaran anda.
Tetapi sekiranya penjaga gol bergerak lebih awal, ia akan memudahkan anda untuk menukar arah sepakan.
Jika penjaga gol terbang ke sudut kegemaran anda, anda cuma perlu menukar ke arah yang bertentangan untuk menjaringkan penalti.
Namun begitu, Le Tissier juga berkata untuk mencapai kesempurnaan seperti beliau lakukan memerlukan masa yang lama.
Oleh itu, latihan penalti yang berterusan perlu dilakukan supaya anda menjadi mahir ketika mengambil sepakan penalti.
Baca juga: 5 Cara Untuk Tingkatkan Stamina Kita Ketika Bermain Bola Sepak