Pemilik Pasukan Di Malaysia Harus Belajar Daripada Pemilik Leicester City

Aiyawatt ‘Top’ Srivaddhanaprabha Leicester City Piala FA 2021 pemilik

Semalam, Leicester City telah meraih gelaran Piala FA apabila menundukkan Chelsea 1-0 dalam pentas final dan menamatkan penantian 137 tahun mereka selama ini.

Untuk rekod, mereka telah empat kali mara ke perlawanan akhir, namun tewas dalam kesemua aksi. Ledakkan tunggal pemain skuad kebangsaan Belgium, Youri Tielemans membantu mereka mengakhiri penantian lama yang bakal dikenang sampai bila-bila.

Leicester di era pemilikan keluarga Srivaddhanaprabha telah mencipta keajaiban luar biasa yang mana The Foxes sudah memenangi gelaran EPL dan sekarang Piala FA. Mungkin bagi kelab besar, ini kejayaan yang biasa-biasa, tetapi tidak di mata Leicester.

Kisah dogeng yang dicipta oleh keluarga Srivaddhanaprabha memang sukar dicari ganti. Para penyokong mereka sedang meraikan detik keemasan yang pastinya sukar untuk tiba lagi sebagaimana gelaran EPL yang sudah tidak dirasai mereka semula.

Jadi, apa yang boleh ‘kita’ di Malaysia pelajari daripada kejayaan Leicester ini? Ayuh kita selusuri kejayaan Leicester ini dan apa yang pemilik di Malaysia boleh teladani?

Pemilik yang ada jiwa bola sepak

Mendiang Vichai Srivaddhanaprabha, bekas pemilik Leicester, dilihat sangat disayangi oleh para penyokong The Foxes. Manakan tidak, sejak pengambilalihan keluarga itu pada 2010, mereka akhirnya berjaya memenangi gelaran EPL pada musim 2015/16.

Malah, kejayaan memenangi Piala FA ini masih didedikasikan kepada mendiang yang sudah meninggalkan mereka tiga tahun lalu. Beliau masih dikenang! Bagaimana seorang yang sudah tiada dalam pasukan masih boleh dikenang para pemain.

Beliau sememangnya berjiwa bola sepak, sebab itu beliau dikenang. Tidak seperti ‘pemilik’ bola sepak di Malaysia yang dilihat bermain-main dengan perkataan jiwa.

Sebagai contoh, baru-baru ini, Bendahari Perak FC memperkatakan tentang jiwa kepada para pemain sedangkan gaji dan kebajikan pemain diabai dan tertunggak.

“Kita nak pemain yang ada ‘jiwa’ dengan Perak. Kalau rasa nak keluar main dengan pasukan lain sebab tak dapat gaji dua bulan, kita tak akan halang,” ungkap Datuk Sham Mat Sahat yang dilihat menggores hati sebilangan besar pemain-pemain Perak.

Pemilik sentiasa turun padang

Anak mendiang, Aiyawatt ‘Top’ Srivaddhanaprabha dilihat meneruskan legasi bapanya. Beliau juga disayangi para penyokong dan pemain Leicester. Ketika majlis keraian menjulang trofi, beliau dilihat muncul bersama Kasper Schmeichel ke padang.

Beliau bertemu Wes Morgan dan Brendan Rodgers seterusnya dilihat berpelukan lama sebelum pemilik itu diberikan ruang oleh para pemain untuk memegang trofi dan menjulangnya. Ya, para pemain memberikan penghormatan itu kepadanya.

Top juga diberikan penghormatan dengan semua pemain dan pengurus membawanya mengelilingi padang Wembley meraikan kejayaan mereka menjuarai Piala FA.

Beliau dilihat sentiasa turun padang menyaksikan perlawanan melibatkan Leicester. Beliau dekat dengan para pemain dan barisan kejurulatihan. Ini dapat dilihat dengan bagaimana mereka menyambut kehadirannya ketika majlis penyampaian trofi.

Mendiang bapanya juga meninggal dunia secara tragis, sejurus menyaksikan aksi The Foxes. Helikopter yang sepatutnya membawanya pulang daripada Stadium King Power selepas aksi bertemu West Ham terhempas di perkarangan letak kereta stadium.

Kata-kata Kasper Schmeichel

Sebelum perlawanan bertemu Chelsea, dalam sesi temuramah bersama BBC Sport, penjaga gol yang juga merupakan anak kepada lagenda Manchester United, Peter Schmeichel iaitu Kasper Schmeichel dilihat berkata sesuatu tentang pemilik pasukan.

“Ketika ini, ia mungkin masa yang sesuai untuk menghargai pemilik atas apa yang berlaku akhir-akhir ini. Anda dapat lihat betapa penyokong tidak gembira dengan pemilik pasukan. Lihat apa yang boleh berlaku jika kelab beroperasi dengan sebaiknya.

“[Ia boleh berlaku] Jika anda datang dan tidak menganggapnya satu perniagaan tetapi menganggapnya projek yang anda minati,” jelasnya yang sudah 10 tahun di sana.

“Ia sesuatu yang akan membuat anda nikmati, anda turun ke setiap perlawanan, anda juga gemar berinteraksi dengan penyokong. Saya tahu, ia tidak pernah didengari,” tambahnya sambil berkata semangat berpasukan adalah segalanya bagi mereka.

“Tiada perkara [yang bagus] seperti semua sama-sama menyumbang. Tidak kira sama ada anda adalah kitman atau groundsman, semua ada peranan masing-masing dan saya rasa ia penting untuk menghargainya dan kelab ini menghargainya,” tegasnya.

Tiada di Malaysia seperti ini?

Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh dikatakan antara suri teladan baik untuk dicontohi. Pemiliknya, Tuanku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mudah didekati para pemain dan pengurusan pasukan. Para penyokong juga menyayanginya atas usaha kerasnya.

Masih ingat bagaimana tindakan TMJ ketika penyerang, Syafiq Ahmad mengalami kemalangan tragis melibatkan kehilangan nyawa anak dan ibu mertuanya? TMJ pantas menghantar pegawai untuk bertemu penyerangnya itu di Pulau Pinang.

Malah bendera kelab juga diturunkan separuh tiang, stadium diterangi dengan lampu putih dan mesej takziah dipaparkan di skrin besar sebagai tanda penghormatan kepada Syafiq Ahmad sekeluarga. Upacara tahlil juga akan diadakan tiga hari.

Ini yang bakal dikenang oleh para pemain dan penyokong iaitu bagaimana anda menjalankan operasi kelab dengan sebaiknya. Bukanlah mahu mengangkat JDT sebagai peraju di Malaysia, tetapi belajarlah tentang bagaimana anda mahu kelab itu beroperasi dengan baik dan pemilik Leicester juga contoh yang boleh diikuti.

Baca lagi artikel lain mengenai Leicester City:

Piala FA: 5 Perkara Dari Kejayaan Leicester City Tewaskan Chelsea

EPL 2020/21: Leicester Buka ‘Klinik Counter Attack’ Di Elland Road

Mampukah Pertahanan ‘Tempang’ Liverpool Menahan Serangan Leicester?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN