City Football Group yang merupakan pemilik kelab juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City dilaporkan sedang mengintai peluang untuk membeli sebuah kelab dalam Liga Malaysia.
Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2014 itu turut memiliki kelab New York City FC (Amerika Syarikat), Melbourne City (Australia) Yokohama F Marinos (Jepun), Atletico Torque (Uruguay) dan Girona FC (Sepanyol).
Mereka kemudian menambah pemilikan mereka kepada tujuh buah kelab, dengan membeli kelab dari China, Suchuan Jiuniu yang merupakan kelab kedua milik mereka di benua Asia.
Delegasi Manchester City yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Ferran Soriano kini berada di Malaysia untuk melihat potensi membangunkan sebuah kelab bola sepak sambil melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
🗣 Ferran Soriano:
“We see Malaysia has an opportunity for football. The level of enthusiasm of the fans is obvious. The development of Malaysian football and the league in the last year with investment by the government shows that there’s great opportunity…”#MCFC pic.twitter.com/IbTsugEOYd
— City Xtra (@City_Xtra) May 23, 2019
“Kami melihat Malaysia mempunyai peluang dalam bola sepak* tahap kegairahan peminatnya amat ketara. Pembangunan bola sepak Malaysia dan liganya dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan pelaburan oleh kerajaan menunjukkan terdapatnya peluang yang besar.
“Kami mahu cuba melihat perkara yang boleh dibuat bersama rakyat Malaysia, dan keluarga bola sepak Malaysia. Bola sepak Malaysia akan membangun dengan hebat, pada dekat yang akan datang,” kata Soriano.
Sementara itu, Syed Saddiq melihat pembelian kelab Liga Malaysia oleh kumpulan tersebut bakal memberikan impak yang positif kepada pembangunan belia, melalui Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP).
“Ada kemungkinan untuk City membeli salah satu daripada kelab di Malaysia untuk memastikan terdapat pelan jangka panjang bagi mengembangkan bola sepak di sini.
“Daripada perspektif KBS, ia juga untuk mengadakan kerjasama bagi meningkatkan sukan bola sepak di peringkat remaja melalui Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP),” tambahnya.
Syed Saddiq turut menafikan langkah yang diambil KBS itu bercanggah dengan kerjasama di antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) kerana menganggap ia menawarkan perspektif yang berbeza.
“Kerana kerjasama dengan JFA, ada beberapa perspektif yang akan kami muktamadkan dalam tempoh terdekat, khususnya yang dikepalai oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
“Dia telah melakukan tugasnya dengan amat baik. Sebagai contoh, prospek untuk menghantar pemain-pemain kita ke sana.
“Kita sudah memiliki beberapa pemain yang bermain untuk kelab mereka tetapi kita hendak menambahkannya dan pada masa yang sama untuk memastikan perpindahan jurulatih itu akan menjadi lebih banyak,” katanya dalam Stadium Astro.