Kedah Darul Aman (KDA) mungkin akan terus mendapat khabar gembira tidak lama lagi selepas pemilik kelab tersebut iaitu Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar telah pun memberi suatu bayangan yang positif.
Menurut laporan, KDA berkemungkinan akan mendapat tajaan peringkat antarabangsa musim ini, setelah Dr Daud menyatakan telah membuat perbincangan bersama penaja tersebut di Dubai.
Tambahan pula, menerusi kenyataan Dr Daud juga menjelaskan penaja itu merupakan rakannya sendiri dan satu pertemuan telah pun diatur untuk membincangkan mengenai pasukan tersebut.
“Saya ada pertemuan dengan Penaja Utama Kedah FC berdekatan Dubai Mall pkl 3 petang. Saya terpaksa push pukul 3.30 petang.
“Saya sempat makan kelam kabut dalam 15 minit kemudian solat. Jam dah pukul 3.15 petang.
“Kebetulan semalam hujan di Dubai. Hujan di Dubai adalah perkara pelik. Jalan semua jam gila. Saya minta push meeting ke pukul 4 petang.
“Saya sampai jam 4.30 petang. Malu tak terkira, tapi rakan saya iaitu penaja utama KDA 2023 relaks dan sempoi,” jelas Dr Daud di media sosial rasminya.
Sehingga kini, KDA masih lagi belum mengumumkan penaja baharu mereka dan berkemungkinan ianya akan diberitahu kepada umum dalam tempoh masa terdekat.
Berdasarkan apa yang dikhabarkan oleh Dr Daud, ada kemungkinan juga tajaan itu hadir daripada rakan-rakan perbankan kerana beliau jelas merupakan seseorang yang sangat berpengaruh dalam industri tersebut.
Selain menghadirkan rasa teruja dalam kalangan penyokong mengenai hal tajaan utama kelab, kini mereka juga tidak sabar untuk mengetahui calon import penyerang terbaharu sebelum saingan liga bermula.
Ini kerana, Dr Daud pernah menyatakan calon penyerang tersebut kini dalam proses untuk didaftarkan selepas mendapat pertanyaan daripada penyokong di media sosial.
Kehadiran Dr Daud juga jelas sangat disenangi oleh para penyokong Sang Kenari, selepas individu tersebut dilihat bekerja keras sehingga kini untuk menaikkan kembali martabat bola sepak Kedah.
Adakah Pertemuan TMJ Bersama Pemilik Kedah Bakal Bawa Sesuatu Lebih ‘Besar’ Buat Penyokong Sang Kenari?https://t.co/vYxdUsqr50
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 13, 2023
Beberapa perkara juga sebelum ini dinyatakan oleh Dr Daud untuk membangunkan KDA kearah lebih baik seperti pembinaan fasiliti untuk latihan, serta telah berjumpa dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu TMJ.
Persoalannya kini, syarikat gergasi manakah bakal menjadi penaja utama buat KDA, dan adakah ia akan memberi kesan besar buat perjalanan kelab musim ini?