Pemain Muda Terbaik Piala AFF 2022 Sah Dilamar Kelab Divisyen 2 Belgium

Pemain tengah muda Indonesia, Marselino Ferdinan dikhabarkan mendapat tawaran daripada salah satu kelab yang berpangkalan di Belgium iaitu K Beerschot VA untuk tahun 2023.

Sebelum ini, nama beliau telah pun dikaitkan bersama dua kelab dari Belgium dan satu lagi merupakan SK Beveren yang turut dikhabarkan memberi tawaran buat Marselino.

Walaupun begitu, ejen Marselino iaitu Dusan Bogdanovic seolah menafikan perkhabaran tersebut dengan kembali bertanyakan pengamal media daripada mana info itu tersebar.

Terang Dusan, beliau tidak dapat mengulas dengan lebih lanjut mengenai perkara itu kerana atas dasar menghormati kontrak Marselino bersama Persebaya.

“Apapun, anda perlu bertanyakan pihak kelab sendiri kerana saya tidak mempunyai hak untuk berbincang mengenai perkara itu kerana Maraelino masih mempunyai baki kontrak.

“Tambahan pula, Marselino masih lagi mempunyai kontrak yang panjang bersama Persebaya iaitu sehingga bulan Julai 2024,” jelas Dusan.

Namun kini, ianya telah disahkan sendiri menerusi pengurus kelab Persebaya Surabaya yang diwakili Marselino iaitu Yahya Alkatiri mengenai isu tersebut menerusi CNN Indonesia.

Jika Marselino menyertai Beerschot, beliau akan bersama-sama seorang lagi pemain yang mempunyai darah Indonesia iaitu Liam Oetoehganal.

Ketika ini, Liam masih lagi beraksi bersama skuad bawah 23 (B-23) Beerschot dan masih belum lagi membuat sebarang penampilan bersama pasukan senior.

Ianya akan menjadi suatu langkah baharu yang positif buat Marselino pada awal tahun ini jika segalanya menjadi kenyataan, tambahan pula usia beliau masih lagi sangat muda.

Marselino yang dinobatkan selaku pemain muda terbaik dalam saingan Piala AFF 2022 ini tampil sebagai permata baharu buat bola sepak Indonesia kerana aksi tang dipamerkan beliau jelas sangat positif.

Selain menjadi tulang belakang buat Indonesia, Marselino juga antara tonggak utama buat kelab diwakilinya kini dalam saingan Liga 1 Indonesia iaitu Persebaya menerusi beberapa ledakan gol dan bantuan jaringan.

Selain Marselino, Indonesia menjadi antara negara yang aktif ketika ini dengan banyak bakat-bakat muda berpotensi mendapat perhatian banyak kelab di sekitar Eropah dan Asia.

Antara pemain yang konsisten ketika ini di luar negara ialah Witan Sulaeman, Elkan Baggott, serta Asnawi Mangkualam dan mereka memberi kesan sangat positif untuk skuad kebangsaan.

Sumber:
CNN Indonesia

Leave a Reply