Leeds United bangkit selepas ketinggalan untuk meraih satu mata dalam aksi Premier League 2020/21 yang berakhir seri 1-1, tetapi menghiburkan.
Dalam perlawanan yang menyaksikan Pep Guardiola menentang mentornya Marcelo Bielsa, kedua-dua pasukan masing-masing mempamerkan aksi menyerang.
Sebelum tumbukan lemahnya menghadiahkan gol kepada Rodrigo untuk menyamakan kedudukan, Ederson de Moraes perlu membuat dua aksi penyelamat cemerlang untuk menafikan percubaan Stuart Dallas dan Luke Ayling pada separuh masa pertama.
Sebelum itu, Raheem Sterling terlebih dahulu meletakkan The Citizens di hadapan menerusi penyudah kemas pada minit ke-17.
Percubaan sepakan percuma bijak Kevin de Bruyne pada separuh masa pertama pula hanya sekadar menggegar tiang. Di sebalik banyak peluang yang dicipta, City bergelut untuk mencari penyudah tajam. Kecederaan Sergio Aguero dan Gabriel Jesus jelas nampak menjadi punca.
Leeds pula, meskipun berstatus pendatang baru Premier League selepas 16 tahun, jelas tidak takut dengan City. Sebaliknya Ederson pula yang ‘berpeluh’ dengan perlu menyelamatkan tandukan Rodrigo dan Patrick Bamford untuk menyelamatkan satu mata pasukannya.
Sebelum perlawanan, penyokong Leeds mungkin takut Manchester City akan ‘mengamuk’ susulan kekalahan 2-5 pelawat kepada Leicester pada minggu lepas.
Tetapi berdasarkan persembahan awal pagi semalam, jelas Marcelo Bielsa telah mendidik anak buahnya ‘berhati kering’ dan terus bermain dengan bola sepak menyerang. Selepas habis perlawanan, Leeds mempunyai percubaan tepat dan penguasaan bola yang lebih banyak berbanding City.
Guardiola: Bila menang, semua orang kata anda wangi
Mengulas keputusan pasukannya, Marcelo Bielsa mengaku pasukannya perlu bekerja sangat keras untuk mendapat satu mata.
“Bagi mereka (City) yang jelas kebih kuat berbanding kami, seri mungkin senang. Ia tak perlukan banyak usaha. Tapi bagi kami, ia memerlukan usaha maksimum untuk sampai ke tahap mereka.
“Kami susah nak rampas bola. Mereka pula mudah rampas bola daripada kami. Tapi kami menunjukkan usaha, kerja keras dan keagresifan untuk menang balik bola.
“Mungkin tak adil kalau kami menang tadi. Ia boleh jadi, tapi tak adil.”
Sementara itu, Guardiola pula memilih untuk bermadah bahasa untuk menjelaskan prestasi pasukannya di mata media.
“Adatlah orang puji bila menang. Bila anda menang, anda ada minyak wangi yang bagus. Semua orang kata anda wangi. Tapi bila anda tak menang, anda akan berbau busuk.
“Perlawanan ini ibarat perlawanan pra-musim. Sebab kami ada beberapa pemain baru. Perjalanan liga pun masih panjang lagi. Lepas ini ada Champions League. Ia adalah maraton.”
Jika anda seorang yang aktif bersukan dan inginkan minyak wangi pada harga mesra poket, anda boleh beli minyak wangi di House of Amar.