Kejayaan mara ke perlawanan akhir Shopee Piala FA 2019 telah menamatkan penantian selama 14 tahun buat Perak yang kali terakhir berada di pentas tersebut pada tahun 2005.
Aksi bertenaga skuad bimbingan Mehmed Durakovic pada peringkat separuh akhir kedua telah mematikan langkah Pahang yang memiliki kelebihan dua jaringan sebelum sepak mula perlawanan di Ipoh itu.
Seperti sedia maklum, berikutan kejayaan manis menempah tiket ke Stadium Bukit Jalil, Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengumumkan berita gembira dengan pemberian bonus bernilai RM150,000 buat pasukan ‘Yob’.
Berita baik itu diumumkan sebaik sahaja skuad Perak tiba di Kediaman Rasmi Menteri Besar selepas tamat perlawanan tempoh hari.
Pemberian tersebut ternyata dapat meningkatkan lagi moral pasukan dalam memburu trofi Piala FA yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2004.
Menurut sumber Stadium Astro, pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah menyifatkan bonus tersebut sebagai tanda keprihatinan Menteri Besar itu terhadap skuad Perak sekaligus dapat menyuntik semangat para pemain.
”Sumbangan ini sudah pasti menyemarakkan dan menyuntik semangat pemain.”
“Bagi pihak pemain, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Perak,”
Perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 27 Julai nanti bakal menemukan Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu pada aksi final adalah ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2007 yang menjadi milik Kedah hasil kemenangan 3-0 menerusi jaringan Khyril Muhymeen Zambri dan dua gol daripada Marlon Alex James.
Kredit foto: MFL