Pernah berlatih bersama kelab Australia, Newcastle Jets mungkin antara perkara yang menarik tentang pemain yang dikaitkan dengan Kedah ini.
Jika dilihat, Kedah Darul Aman sebenarnya sedikit bermasalah di posisi sayap dengan hanya Mahmoud Al-Mardi dan Fayadh Zulkifli menyerlah.
Selebihnya, Sang Kenari tiada pemain yang mampu memberi impak yang baik di posisi sayap. Duo yang dibawa dari Penang FC, Amer Azahar dan Al-Hafiz Harun bergelut mencari prestasi musim sebelumnya, sementara Azamuddin Akil dan Syazwan Zainon terus bergelut dengan kecederaan.
Pemain yang boleh bermain baik di posisi sayap ini mungkin akan memberi corak baharu buat Kedah untuk saingan musim depan jika perkhabaran ini menjadi realiti. Dan ini juga menandakan ada pemain yang bakal angkat kaki, mengundurkan diri, meninggalkan pasukan untuk musim depan.
It is learnt that Perak’s playmaker Firdaus Saiyadi is being eyed by northern rivals Kedah.
Difahamkan pasukan Kedah berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Perak Firdaus Saiyadi. #MFLTransfer2023
— T. Avineshwaran (@avineshW90) November 2, 2022
Menurut perkongsian wartawan The Star, T. Avineshwaran, pemain sayap Perak FC, Firdaus Saiyadi sedang hangat dikaitkan bakal berhijrah ke Kedah.
Katanya, Kedah berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah pasukan yang menduduki tangga kedua tercorot Liga Premier musim ini.
Beliau pernah dihantar untuk berlatih bersama Newcastle Jets pada 2014 oleh pengendali Akademi Perak ketika itu, Marshall Soper selama sembilan hari. Beliau baru berusia 18 tahun dan bakatnya mendapat perhatian ramai serta bekas pengendali pasukan, mendiang Karl Heinz Weigang.
Cuma tidak dapat dipastikan sama ada pengendali baharu Perak, Lim Teong Kim sudi melepaskan pemain yang berpengaruh di kalangan penyokong Perak ini. Satu masa dahulu, Firdaus pernah dianggap sebagai bintang masa depan buat pasukan sebelum satu insiden ‘membunuh’ segalanya.
Beliau pernah menjalani penggantungan selama dua tahun oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula pada musim 2016 hingga 2018.
Firdaus Saiyadi: Dari Penggantungan Dua Tahun Ke Ambang Final Piala Malaysia
Dalam satu perlawanan Liga Super 2016, ketika Perak berdepan PDRM, Firdaus telah didapati positif dadah jenis ‘methamphetamine stimulant’.
Dua tahun tidak menyentuh bola, beliau kembali beraksi pada musim 2018 di Piala Malaysia dan membantu mereka menjulang kejuaraan edisi itu.
Mengapa kehadirannya penting buat Kedah? Seperti yang dibincangkan di perenggan sebelum ini, Kedah jelas bergelut di posisi sayap dan Firdaus merupakan pemain yang cemerlang di posisi itu selain boleh juga beraksi di jentera tengah. Kemampuannya mencatur hantaran berbahaya penting.
Kedah boleh dikatakan hilang sentuhan sebegitu selepas hilang khidmat Baddrol Bakhtiar dan beliau adalah pengganti yang dilihat sepadan saat ini.
Kedah’s talismanic midfielder Baddrol Bakhtiar is the highest local goalscorer in the #MSL2021, with seven goals in 21 games. He also has three assists. He was ridiculed in the early stages of the season, but he didn’t let them get to his head. Class is written all over his game! pic.twitter.com/HGUwXPDbus
— T. Avineshwaran (@avineshW90) September 12, 2021
Firdaus adalah pemain yang boleh menggunakan kedua-dua kakinya, lincah dan mobil, malah mampu mencipta bantuan gol selain meledak jaringan.
Jadi, ini adalah pemain yang diidamkan oleh Kedah selepas melalui musim yang sangat suram kali ini – kedudukan terburuk sejak kembali ke saingan Liga Super pada musim 2016, iaitu menutup tirai di tangga ke-8 liga.
Beliau boleh dikatakan pemain yang lebih ‘upgrade’ daripada dua pemain sayap yang dibawa dari Penang iaitu Amer Azahar dan Al-Hafiz Harun.
Selain pemain berusia 26 tahun tersebut, seorang lagi pemain sayap Perak yang turut dilihat hangat dikaitkan bakal ke Kedah adalah Hafiz Ramdan.
Selain sesuai untuk membaiki masalah di jentera sayap Sang Kenari, kedua-duanya boleh meningkatkan semula profil mereka di saingan Liga M.