Pemain tengah skuad kebangsaan Kyrgyzstan, Bakhtiyar Duishobekov sah ditandatangani oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang bakal mengisi posisi tengah skuad The Red Warriors (TRW).
Beliau menjadi pilihan utama ketua jurulatih skuad TRW, Fajr Ibrahim bagi mengisi posisi tengah, akan menggantikan seorang lagi pemain import, Margaro Gomis yang tiada dalam perancangan beliau kerana mengalami kecederaan
Menurut Berita Harian, Bakhtiyar yang juga bekas pemain skuad bawah 21 tahun Kyrgyzstan, memulakan karier bersama Dinamo MVD Bishkek (2012) dan kelab terakhir yang diwakilinya adalah FC Dordoi Bishek di Liga Kyrgyzstan.
Perkara itu disahkan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan selepas mengikat Bakhtiyar menerusi kontrak selama enam bulan.
“KAFA berharap dengan kemasukan Bakhtiyar dapat membantu menambah kekuatan jentera tengah untuk mengembalikan semula sengat jentera serangan selepas mengalami aksi suram sebelum ini,” katanya.
Bibi turut berharap Bakhtiyar dapat diturunkan dalam masa terdekat bagi membantu jentera tengah skuad itu yang dilihat agak pincang sejak ketiadaan Gomis.
“Kehadiran Bakhtiyar yang mempunyai pengalaman sebagai pemain kebangsaan diharap dapat membantu pemain muda dan membina kembali kekuatan pasukan yang nampak agak goyah kerana menggunakan hanya dua tenaga import,” katanya.