Quantcast

BERITA

Kecewa Dengan Sikap Presiden Kelab, Rui Patricio Mahu Tamatkan Kontrak Bersama Sporting Lisbon

Situasi di Sporting Lisbon kini semakin tidak menentu.

Selepas kompleks latihan kelab tersebut diserang oleh 50 orang penyokong mereka sendiri, kini ramai pemain utama pasukan tersebut mula sedikit demi sedikit mahu meninggalkan kelab tersebut.

Salah seorangnya adalah penjaga gol Portugal – Rui Patricio.

Patricio kini terdesak mahu meninggalkan kelab tersebut selepas situasi yang tidak menentu di kelab tersebut.

Beliau telah pun menghantar surat bertebal 34 muka surat untuk menerangkan sebab mengapa beliau mahu tinggalkan kelab itu!

“Tujuan saya jelas. Saya rasakan diri saya adalah contoh terbaik untuk seorang pemain profesional dan saya telah berikan yang terbaik buat kelab ini.”

“Saya sedar akan kemegahan kelab ini dan juga penyokongnya. Saya gembira dengan kemenangan dan kecewa dengan kekalahan yang dialami. Jika saya tidak memberikan yang lebih, hal ini kerana saya tidak lagi mampu.”

Patricio meletakkan segala punca permasalahan ini kepada presiden kelab iaitu Bruno de Carvalho.

Carvalho dikatakan telah menuduh pemain skuad Sporting Lisbon sebagai manja dan menuduh pasukan sebagai tidak punya semangat juang selepas pasukan mereka tewas di tangan Maritimo.

“Saya terkejut dengan tindakan presiden kelab terhadap kami sehari sebelum kami diserang oleh penyokong di padang latihan jika nak diambil kira betapa agresifnya dan diktatornya beliau dalam perbualan bersama kami dalam beberapa bulan lepas.”

“Serangan penyokong terhadap kami di padang latihan bukanlah satu perkara terpencil dan juga tak boleh dijangka. Para pengarah kelab semuanya boleh menjangkakan perkara itu berlaku.”

Patricio menggangap Carvalho menjadi punca mengapa hubungan antara pemain dan peminat tiba-tiba saja menjadi retak.

“Sikap presiden kelab jelas tidak beradab, beliau telah mengadu domba kemarahan penyokong kepada pemain.”

“Dengan surat ini, saya minta agar kontrak saya bersama Sporting Lisbon ditamatkan. Saya telah menjadi mangsa kepada keganasan fizikal dan psikologi.”

Surat yang dikeluarkan oleh Patricio telah mendapat reaksi kurang senang oleh pihak kelab.

Selain Patricio, pemain William Carvalho dan Daniel Podence antara pemain yang mahu menamatkan kontrak bersama kelab serta-merta.

Pihak Sporting Lisbon dikatakan telah menutup mesin faks mereka kerana mahu menghalang lebih banyak surat penamatan kontrak dari pemain mereka.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!