Pemain tengah import dari Croatia iaitu Marin Pilj dilaporkan hampir pasti bakal menyertai Terengganu untuk memperkukuhkan pasukan itu bagi mengharungi saingan musim 2024/2025.
Ianya dinyatakan sendiri melalui wartawan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam menerusi laporan beliau di media sosial X mengenai pemain dari Croatia itu.
“Pair Akram Mahinan! Difahamkan, Marin Pilj akan melengkapkan perpindahan ke Terengganu dari kelab utama Liga Croatia NK Varazdin,” jelas kenyataan beliau menerusi media sosial X.
Terdahulu, laporan menyatakan Terengganu hampir pasti untuk menandatangani seorang lagi tenaga import dari Croatia bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.
Menerusi perkongsian Harian Metro, ada dua pemain import berasal dari Croatia tanpa didedahkan maklumat lengkap mereka berminat untuk menyertai keluarga besar Terengganu buat pertama kali di Malaysia.
Untuk rekod, Terengganu secara rasminya telah pun mengekalkan tiga pemain import pada musim lalu iaitu Argzim Redzovic, Ivan Mamut, serta Nurillo Tukhtasinov selepas mereka mempamerkan konsistensi permainan begitu baik dalam setiap perlawanan.
Untuk terus memperkukuhkan lagi skuad Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner turut menandatangani dua lagi pemain import di posisi pertahanan serta serangan iaitu Matthew Steenvoorden serta bekas penyerang Kelantan United, Ismaheel Akinade.
Marin yang dikaitkan sebelum ini bersama Terengganu menjadi antara nama berada dalam senarai pemilihan import baharu Terengganu di posisi tengah selain seorang lagi calon, Igor.
Mengenai Marin, beliau sebelum ini beraksi di saingan teratas Croatia iaitu Croatian Football League bersama NK Varazdin selaku perancang utama pasukan tersebut.
Sepanjang bersama NK Varazdin, pemain berusia 27 tahun itu sudah pun diberi peluang beraksi sebanyak 20 perlawanan peringkat domestik dengan dua gol serta satu bantuan jaringan berjaya dihasilkan beliau.
Selain berkelebihan beraksi selaku pemain tengah serangan, Marin juga berupaya beraksi sebagai pemain tengah bertahan dan ia sudah pun dibuktikan sepanjang beliau beraksi untuk NK Varazdin.
Penyertaan Marin menjadikan beliau sebagai suatu aset terbaharu buat Sang Penyu yang kehilangan khidmat Habib Haroon serta Liridon Krasniqi yang beraksi di posisi tersebut tahun lalu.
Malah, ia bakal memberi ruang buat Tomislav Steinbruckner untuk cuba mencipta kombinasi baharu di posisi tengah menerusi kemasukan Akram Mahinan serta Marin sebelum saingan liga bermula tidak berapa lama sahaja lagi.