Menghasilkan tujuh gol dalam dua aksi, Sabah FC melaungkan semangat baharu di musim baharu, namun Datuk Ong Kim Swee tidak gembira.
Disebalik tujuh gol, mereka dibolosi satu gol dalam aksi malam tadi, berdepan Kelantan United waima menang 3-1 di tiupan wisel penamat.
Mungkin bagi sesetengah pengendali, cukuplah dengan meraih tiga mata, segalanya sudah cukup buat mereka, namun ia tidak bagi Kim Swee.
Sabah berpotensi keluar daripada perlawanan dengan satu lagi keputusan tanpa bolos selepas mengatasi PDRM FC 4-0 pada Sabtu. Namun, Indra Putra Mahayuddin berhasil juga mencuri satu gol daripada Sabah di hujung aksi apabila berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di minit ke-92.
“Yang penting kita dapat lagi tiga mata. Tetapi, selepas mendahului, sudah tentu saya tidak berpuas hati dengan corak permainan kita, di mana kita dibolosi pada minit-minit terakhir. Saya percaya, ini satu kelekaan daripada para pemain,” ungkapnya di sidang media pasca perlawanan malam tadi.
“Kita harus tahu, walaupun kita mendahului, pastikan kita tidak dibolosi. Untuk perlawanan seterusnya kita harus memperbaiki lagi,” tambahnya.
Penyerang skuad kebangsaan, Darren Lok membuka akaun jaringan buat Sabah pada minit ke-22 selepas menyempurnakan sepakan penalti yang diperolehi. Lok sentiasa mempamerkan permainan yang baik, namun belum ada rezeki untuknya meledak gol menerusi permainan padang.
Empat minit berselang, Park Tae-su muncul sebagai penjaring menerusi satu peluang terhidang selepas kekalutan di kawasan kotak penalti lawan.
Sabah jelas mendominasi perlawanan tatkala bermain di halaman sendiri, dengan deretan peluang hadir menerusi beberapa percubaan. Wira dalam aksi pertama, Saddil Ramdani hampir mencipta gol pada minit ke-33, namun lambungannya gagal menggegar gawang dikawal Asyraaf Omar.
Minit ke-47, pemain import, Telmo Castanheira memanfaatkan hantaran lintang bek kiri, Daniel Ting untuk membantu mereka mendahului 3-0.
Mungkin selepas selesa mendahului tiga gol inilah, Kim Swee melihat pasukannya mula hilang cengkaman dan perubahan pemain dilakukan di beberapa posisi. Ternyata, membawa masuk pemain segar pun gagal meningkatkan penguasaan mereka apabila aksi permainan masih sama.
Indra berjaya meledak gol sensasi di penghujung perlawanan menerusi sepakan percuma jarak jauh yang akhirnya menewaskan Khairul Fahmi.
“Ini yang harus kita perbaiki. Setiap pemain yang masuk menggantikan pemain lain harus kekalkan corak permainan kita walaupun sedang mendahului. Seperti yang saya katakan, kita tidak boleh ambil mudah. Setiap pemain harus pikul tanggungjawab yang sama,” tambahnya lagi.
Gembira atau tidak, Kim Swee harus berbangga dengan permulaan baik Sabah setakat ini selepas membuat tambah baik terhadap ‘The Rhinos’.
Selepas dua kali beraksi di halaman sendiri, Sabah akan berkelana untuk dua perlawanan seterusnya berdepan Kuching City dan Sri Pahang.