Setiap kali jendela perpindahan dibuka, ada sahaja berita yang memberitahu Real Madrid mahu mendapatkan penjaga gol baharu.
Nama yang dikaitkan selalunya adalah penjaga gol Manchester United – David de Gea.
Namun begitu, tidak semua mahukan penjaga gol Sepanyol itu dibawa ke Real Madrid.
Bagi para pemain Real Madrid, mereka masih mahukan Keylor Navas dikekalkan sebagai penjaga gol utama pasukan.
Walaupun masih lagi bergelut dengan prestasi semasa selepas baru pulih dengan kecederaan, beliau masih lagi mendapat sokongan padu rakan sepasukan.
Menurut MARCA, kapten Sergio Ramos dan keseluruhan skuad telah bersolidariti kepada presiden kelab iaitu Florentino Perez supaya mengekalkan pemain itu.
Beliau dilihat menjadi pemain pertama meraikan kejayaan bersama-sama Navas selepas mereka menewaskan Juventus.
Ia boleh dikatakan tindakan yang iklhas dan bukan dibuat-buat. Jelas sekali, kapten Real Madrid itu amat senang bermain bersama Navas.
Pengurus Real Madrid iaitu Zinedine Zidane turut menyokong pemainnya itu.
Beliau dilihat jarang menyalahkan Navas andai pemain itu melakukan kesalahan ketika perlawanan.
Selain itu, beliau sering mempertahankan penjaga golnya itu dan sentiasa memberi masa dan ruang untuk Navas memperbaiki kesilapannya.
Adakah Navas akan menyarung jersi Real Madrid pada musim hadapan?