Menjelang perlawanan malam esok membabitkan pertemuan Petaling Jaya City (PJ City) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), pastinya aksi menarik dinanti-nantikan oleh para penyokong kedua pasukan.
PJ City ibarat mendapat suntikan motivasi baharu apabila pemain tonggak serangan mereka iaitu Darren Lok, bakal kembali beraksi untuk perlawanan getir malam esok.
Next up, we face Johor Darul Ta'zim FC on Tuesday, 9 pm, at Sultan Ibrahim Stadium. Come on Phoenix!#YakiniLokal #ThePhoenix #QNET pic.twitter.com/a9GUSH0XzD
— PJ City FC (@pjcityfc) June 26, 2022
Perkara tersebut diakui sendiri oleh K. Rajendran selaku Pengurus PJ City apabila beliau optimis dengan kehadiran semula Darren mampu untuk mencipta sesuatu yang positif di gelanggang lawan.
Pada perlawanan lalu sewaktu bertemu Penang, pasukan kendalian P. Maniam terpaksa beraksi tanpa kehadiran Darren setelah penyerang itu digantung perlawanan kerana menjalani penggantungan.
Jelas pengurus tersebut, Darren bakal dibawa turun dalam kesebelasan utama malam esok untuk memberi tentangan sengit buat JDT.
Tambah beliau, setakat ini pasukan sudah pun menjalani latihan dan persediaan rapi apabila P. Maniam tampak bersedia untuk memilih kesebelasan terbaik bagi perlawanan malam esok serta bertekad untuk mencuri mata di tempat lawan.
“PJ City akan turun ke Johor Bahru dengan barisan terbaik dan semangat kental dalam misi mencuri mata meskipun berhadapan dengan pasukan JDT yang bertaraf kelab Asia.
“Penyerang utama pasukan, Darren disahkan cergas dan akan berada dalam kesebelasan utama dan dia dijangka bakal membentuk gandingan bersama pemain di bahagian serangan seperti Mahali Jasuli, Kogileswaran Raj, Kumaahran dan Khyril Muhymeen.
“Pemain juga sudah dinasihatkan perlunya mereka beraksi secara luar biasa dan memberikan komitmen lebih 100 peratus, bagi memastikan saingan dapat diberikan dengan baik terhadap JDT dan seterusnya mendapatkan keputusan positif,” katanya ketika dihubungi, hari ini menerusi Arena Metro.
Untuk rekod, PJ City ketika ini sudah pun mengumpul sembilan mata setelah mencatat dua kemenangan, tiga seri dan tiga kekalahan daripada lapan perlawanan dihadapi.
Action shots from the draw against Penang FC at Bandaraya Stadium last night. #YakiniLokal #ThePhoenix #QNET pic.twitter.com/wJcvgxCKUq
— PJ City FC (@pjcityfc) June 19, 2022
Dalam masa sama, Rajendran sedar para pemain bakal berdepan cabaran getir malam esok di gelanggang lawan, apatah lagi JDT masih lagi belum mencatat sebarang kekalahan musim ini.
Walaupun begitu, beliau optimis PJ City mampu untuk melakar sesuatu ke atas JDT sekiranya para pemain mampu mengekalkan fokus dan mempamerkan bentuk disiplin terbaik sepanjang permainan.
50' GOL | Darren Lok menanduk masuk hantaran lintang Mahalli Jasuli untuk gol penyamaan PJ City!@MelakaUnitedFC 1-1 @pjcityfc #PialaFA2022 pic.twitter.com/JBmQUIWejZ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 14, 2022
Jelas beliau, bukan sesuatu yang mustahil untuk mereka melakar kejayaan apatah lagi rekod sebelum itu juga PJ City pernah menafikan JDT.
“Saya anggap bukan sesuatu yang mustahil untuk pemain PJ City mencipta keputusan yang baik di Johor Bahru malam esok kerana sebelum ini kami pernah melakukannya.
“Walaupun itu adalah cerita lama dan situasi ketika ini sudah banyak berubah, namun pemain PJ City akan bekerja keras untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang tempoh permainan dan akan berusaha mencuri mata dari gelanggang lawan itu nanti.
“Saya berharap mereka dapat kekal fokus dan mengurangkan kesilapan selain memastikan setiap perancangan serta strategi disusun jurulatih dapat terjemahkan dengan baik,” katanya.