Pemain Negeri Sembilan Teruja Kembali Jalani Latihan

Negeri Sembilan

Setelah berbulan-bulan sepi tanpa aktiviti bola sepak, pertahanan Negeri Sembilan, Shahrom Kalam, mengakui dia dan rakan sepasukan tidak pernah merasai perasaan cukup teruja seperti mana hari ini apabila menjalani latihan buat pertama kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu akibat pandemik COVID-19.

Walaupun perlu mematuhi pelbagai Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan, Shahrom menegaskan situasi itu tidak menghalang mereka menjalani latihan dengan penuh kesungguhan dalam membentuk kembali kekuatan fizikal selepas sekian lama terpaksa berlatih bersendirian.

Tambahnya, dia dan pemain lain langsung tidak berdepan sebarang masalah dalam mengikuti segala SOP biarpun berdepan sedikit kejanggalan kerana tidak dibenarkan melakukan sentuhan pemain dan perlu terus pulang sebaik latihan tamat.

“ Pertama sekali, sebaik kami sampai di padang latihan hari ini, saya boleh nampak semua pemain terlalu teruja selepas tiga bulan kami tidak pernah turun jejakkan kaki ke padang malah semua berikan komitmen lebih 100 peratus.

“ Daripada segi SOP, kami semua langsung tidak ada sebarang masalah untuk ikutinya terutama dalam penjarakan sosial biarpun tidak dinafikan ada perasaan janggal pada awal hingga akhir latihan.

“ Apa yang penting, saya rasa amat bersyukur kami sudah boleh jalani latihan kerana itu paling mustahak berbanding berlatih secara bersendirian sebab cukup penting kami berjumpa sesama sendiri memandangkan bola sepak adalah sukan berpasukan,” katanya.

Negeri Sembilan jadi pasukan pertama yang mendapat kebenaran menjalani latihan oleh Malaysian Football League (MFL) sejak Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi lampu hijau kepada semua pasukan Liga Malaysia berlatih di bawah SOP yang ditetapkan.

Empat kriteria utama yang perlu dipatuhi oleh semua pasukan ialah melakukan ujian calitan atau ‘swab test’, melantik pengawai penyelaras, menamakan pusat latihan dan mendaftarkan melalui pautan miti.gov.my (MITI) selain venue juga perlu melakukan proses nyahkuman atau sanitasi.

Skuad Hobin Jang Hobin yang sebelum ini menjalani latihan di padang Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) di Rahang telah memilih Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebagai gelanggang latihan bagi memenuhi SOP ditetapkan iaitu berlatih di venue tertutup.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidun berkata, sesi latihan hari ini telah dipecahkan kepada tiga kumpulan yang melibatkan sembilan pemain bagi setiap kumpulan beserta empat pegawai dalam tempoh 45 minit.

Berpuas hati dengan komitmen yang ditampilkan oleh setiap pemain, beliau gembira kerana boleh melihat situasi semua pemain secara berdepan berbanding sebelum ini apabila terpaksa memantau perkembangan dari jauh.

“ Kami akan sedaya upaya memenuhi segala syarat ditetapkan pada latihan fasa satu ini kerana tidak mahu peluang sebegini boleh hilang jika kami cuai kendalikan SOP selain sama-sama bertanggungjawab agar penularan wabak COVID-19 ini boleh dibendung.

“Bagi latihan tanpa ada ‘body contact’, saya tidak boleh gunakan teknik latihan yang terlalu kompleks dan mungkin menumpukan kepada aspek teknikal dan fizikal.

“ Namun sekurang-kurangnya melalui kehadiran pemain di depan mata saya, saya boleh mengawal tahap intensiti setiap pemain serta mengikut kehendak saya berbanding sebelum ini.

“ Pada pandangan saya, kita juga tidak perlu tergesa-gesa mahu meminta berlatih menggunakan ‘body contact’ memandangkan masa masih banyak iaitu dalam dua bulan lagi sebelum sepak mula 1 September ini, ” katanya.

Leave a Reply