Pemain Muda, Jose Iriarte & Gus Cerro Pencetus Kebangkitan Skuad Jang 1996

Tahun 1996 bukanlah tahun bagi pasukan Negeri Sembilan untuk berbelanja besar. Berbanding pasukan-pasukan elit dan gergasi yang lain, perancangan skuad Rusa dianggap sederhana.

Tumpuan ketika itu lebih terarah kepada pasukan Merah Kuning, Selangor yang masih segar dengan kejuaraan Piala Malaysia 1995 selepas menundukkan Pahang melalui jaringan ‘sudden death’ David Mitchell.

Manakala naib juara Piala Malaysia 1995, Pahang terpalit dengan isu pemain import Argentina, Alberto Naves sehinggakan merencatkan persiapan skuad Pahang pada musim 1996.

Sementara itu, Kedah dan Sabah dilihat pasukan yang memiliki kekuatan untuk muncul juara liga 1996 hasil kehadiran pemain berkualiti seperti Andre Nascimento, Hashim Mustafa dan Zulfatah Zulkarnain (Kedah) serta Suharmin Yusof dan Scott Ollerenshaw (Sabah).

Negeri Sembilan mula mencuri tumpuan

Tatkala perhatian lebih terarah kepada pasukan Selangor, Kedah, Sarawak dan Sabah, dengan tidak semena-mena, Negeri Sembilan muncul pendahulu liga selepas melengkapkan 14 perlawanan pusingan pertama.

Untuk rekod, Negeri Sembilan berjaya mengutip 28 mata, 4 mata dihadapan juara Piala FA 1995, Sabah.

Satu peningkatan yang mendadak tatkala pada musim terdahulu yakni 1995, Negeri Sembilan gagal menempatkan pasukan dalam kedudukan 10 terbaik seterusnya gagal melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia 1995.

Ketika itu, Liga Perdana 1996 mempertaruhkan sebanyak 15 pasukan termasuklah pasukan Brunei, sambil tiada lagi kelibat Singapura dalam liga tempatan sejak 1995.

Apakah magis skuad kendalian M. Karathu yang mampu meletakkan pasukan ini memimpin carta liga sejak dari awal liga?

Gandingan Import Argentina

Dua bekas pemain import Pahang, Jose Iriarte (1993) dan Gus Cerro (1995) nyata menjadi teras kebangkitan pasukan Negeri Sembilan pada musim 1996.

Selepas meninggalkan impak yang baik dalam skuad Pahang sebelum ini, 2 pemain ini jelas menarik minat kem pasukan Negeri Sembilan untuk menandatangani 2 pemain ini sebagai persediaan musim 1996.

Kredit: Pemilik Gambar

Gus Cerro yang pernah beraksi di pentas akhir Piala Malaysia 1995 ketika bersama Pahang dilihat hadir dalam waktu yang tepat bagi menambah bisa di jentera tengah skuad Jang.

Pakar mengambil sepakan percuma dan sepakan sudut ini memanfatkan situasi bola  mati selain berjaya mengemudi jentera di bahagian tengah pasukannya.

Manakala tugas untuk meledak disandarkan kepada Iriarte yang membuktikan betapa sentuhannya masih berbisa. 14 gol berjaya dicetak dalam saingan liga, kurang 4 gol berbanding pemenang kasut emas 1996, Scott Ollerenshaw.

Sandaran Pemain Muda

Faktor pemain tempatan juga dilihat antara faktor yang mencetus kebangkitan Negeri Sembilan musim 1996. Gandingan 2 beradik dari Rembau ini, Faizal Zainal dan Khairil Zainal berjaya membentuk kubu kuat pasukan pada awal saingan liga.

Pengalaman yang ditagih buat dua anak muda ini ketika bersama skuad Claude Le Roy banyak membantu mematangkan corak permainan mereka. Sehingga tamat saingan liga, Faizal berjaya menjaringkan 4 gol untuk skuad Rusa.

Meskipun skuad bimbingan Claude Le Roy ini terkandas dalam misi Olimpik Atlanta, pengalaman berada dalam kem kebangsaan sudah cukup membantu perjalanan karier mereka.

Ketika dalam skuad kendalian Le Roy, jurulatih ini lebih berminat meletakkan Faizal dan Khairil beraksi di barisan pertahanan kiri dan kanan, namun bagi skuad kendalian M. Karathu pula, Faizal lebih berperanan sebagai pertahanan tengah manakala Khairil ditolak ke atas sedikit bagi membantu Gus Cerro.

Begitu juga sumbangan pemain-pemain tempatan yang lain seperti ketua pasukan Zami Mohd Noor, B. Rajinikadh, Shamsul Akmar, Azmi Mohamed dan bekas penjaga gol Selangor, Othman Katmon.

Azmi Mohamed muncul penjaring terbanyak selepas Iriarte dengan meledak 7 gol dalam saingan liga bersama Idris Kadir yang turut merekodkan jaringan yang sama.

Momentum terhenti

Kusangka kan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itu adalah perumpamaan tepat yang menggambarkan mengenai prestasi Negeri Sembilan ketika itu.

Selepas 6 bulan memimpin carta liga, akhirnya skuad Jang merelakan pasukan lain memintas seterusnya gagal menjuarai kejuaraan liga musim 1996.

Memang susah untuk melepaskan tatkala hanya dipisahkan 1 mata dibelakang juara liga iaitu Sabah yang berjaya mengumpul 58 mata selepas 28 perlawanan.

Lebih menghampakan apabila skuad Rusa ini dipintas pada 2 perlawanan terakhir menjadikan Negeri Sembilan menamatkan saingan liga di kedudukan ketiga dibelakang Kedah (naib juara) dan Sabah.

Antara faktor kegagalan ini adalah disebabkan kecederaan yang melanda ayam tambatannya iaitu Gus Cerro. Ketiadannya jelas memberi impak kepada pasukan sehinggakan Negeri Sembilan sekadar melengkapkan jadual di saingan kumpulan B Piala Malaysia.

Rumusan

Sebuah pasukan yang kurang diberikan perhatian sebelum ‘kick-off’ musim 1996, namun dengan secara tiba-tiba mengganas dan memadam ego pasukan-pasukan berstatus gergasi ketika itu.

Walaubagaimanapun, momentum itu terhenti dipenghujung saingan dan menyaksikan skuad Jang terpaska berputih mata.

Apa-apapun, kredit harus diberikan kepada mereka, berbekalkan skuad yang dianggap sederhana, mereka mampu menyaingi pasukan-pasukan seperti Selangor, Sarawak dan Brunei yang dianggap sebagai pasukan pencabar ketika itu.

Apakah wujud persamaan di antara perjalanan liga pada 1996 dan perjalanan Liga Perdana musim 2017 yang lalu? Semoga skuad Jang terus maju jaya dan kembali dalam saingan Liga Super musim 2019!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN