Pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk mendedahkan undian beliau diberikan untuk Raheem Sterling – sebagai pilihan untuk memenangi Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (POTY), pada musim ini.
Ia mungkin kedengaran sedikit pelik apabila seseorang pemain memilih pemain dari pasukan seteru – apatah lagi Sterling adalah saingan utama buat pemain Liverpool itu untuk memenangi anugerah yang sama pada tahun ini.
Namun demikian Van Dijk sekadar bertindak jujur dan menganggap Sterling sememangnya layak untuk memenangi anugerah tersebut kali ini.
Untuk anugerah anjuran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) ini, pemain dilarang untuk mengundi diri sendiri.
Namun pemain antarabangsa Belanda itu tidak pernah terfikir untuk melakukan dengan apa cara sekalipun untuk mengurangkan undi milik Sterling, semata-mata untuk memberi kelebihan undian buat dirinya.
“Saya mengundi untuk Raheem Sterling,: ujar Van Dijk. “Saya lakukan apa yang saya fikirkan, dan saya berpendapat beliau [Sterling] layak untuk undian itu.
“Beliau melalui musim yang hebat. Saya boleh sahaja mengundi untuk Bernardo Silva, atau pemain-pemain lain dari Manchester City.
“Namun saya mahu berlaku jujur. Saya berpendapat Sterling menunjukkan peningkatan sebagai seorang pemain. Sekarang kita kena tunggu untuk melihat sama ada beliau akan memenangi anugerah tersebut.”
Tahun lalu, rakan sepasukan Van Dijk, Mohamed Salah memenangi anugerah.
Walaupun anugerah peribadi seperti POTY itu boleh dianggap sebagai satu kejayaan peribadi buat Van Dijk yang cemerlang sejak tiba di Anfield, namun beliau sedar ada ‘hadiah’ yang lebih besar bakal menanti.
Skuad kendalian Jurgen Klopp kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Manchester City, dan merupakan satu-satunya pasukan yang boleh menafikan Pep Guardiola mengulangi kejayaan The Citizen pada musim lalu.
Liverpool juga berpeluang meraih kejuaraan berganda pada musim ini, apabila bakal bertemu Porto di saingan suku akhir UEFA Champions League.
Musim lalu, Liverpool mara ke perlawanan akhir pertandingan elit eropah tersebut sebelum dikecewakan oleh Real Madrid. Kali terakhir Liverpool bergelar juara Liga Inggeris ialah pada 1990. Kelab Merseyside itu tidak pernah merangkul kejuaraan liga sejak ia dijenamakan semula pada 1992.