Pemain-pemain dari La Liga menguasai 8 daripada 11 slot FIFA FIFPro 2015 World XI yang diumumkan di Zurich semalam. 3 slot lagi diisi oleh masing-masing seorang pemain dari Serie A, Bundesliga dan Ligue 1.
FIFA FIFPro 2015 World XI dipilih melalui undian pemain-pemain profesional yang berdaftar di bawah FIFPro saja.
Seramai 26,478 pemain dari 68 negara mengambil bahagian dalam undian untuk menentukan seorang penjaga gol, 4 pemain pertahanan (tanpa mengira posisi), 3 pemain tengah dan 3 penyerang terbaik sepanjang tahun 2015.
Berdasarkan undian, 11 pemain yang terpilih adalah:
Penjaga gol:
Manuel Neuer (Jerman, FC Bayern Munich)
Pertahanan:
Dani Alves (Brazil, FC Barcelona)
Sergio Ramos (Sepanyol, Real Madrid CF)
Thiago Silva (Brazil, Paris Saint-Germain)
Marcelo (Brazil, Real Madrid CF)
Tengah:
Paul Pogba (Perancis, Juventus)
Luka Modric (Croatia, Real Madrid CF)
Andrés Iniesta (Sepanyol, FC Barcelona)
Penyerang:
Cristiano Ronaldo (Portugal, Real Madrid CF)
Lionel Messi (Argentina, FC Barcelona)
Neymar Jr. (Brazil, FC Barcelona)
Di mana pemain EPL?
Jika pada tahun lepas EPL mempunyai Angel di Maria (Manchester United) sebagai wakil tunggal, pada tahun ini pemain-pemain bintang EPL hanya layak mengisi pasukan simpanan FIFA FIFPro 2015 saja.
David de Gea, Eden Hazard dan Yaya Toure mengisi pasukan simpanan FIFA FIFPro 2015. Philip Lahm dan Toni Kroos yang masuk ke FIFA FIFPro 2014 turut diturunkan pangkat ke pasukan simpanan pada tahun 2015.
Rakan sepasukan Yaya Toure di Manchester City, Sergio Aguero pula hanya layak masuk ke pasukan ketiga FIFA FIFPro 2015. Turut mengisi pasukan ketiga dunia adalah, Karim Benzema, Thomas Mueller dan Gianluigi Buffon.
Penyokong Arsenal pula pastinya berang melihat nama Alexis Sanchez dalam senarai pasukan keempat FIFA FIFPro 2015.
Giorgio Chiellini juga antara salah satu pemain yang hanya sekadar mengisi slot pasukan keempat dunia walaupun mempamerkan persembahan konsisten sepanjang 2015.
Apa yang tak dilaporkan oleh media Inggeris adalah fakta bahawa pemain bintang EPL paling banyak menghuni pasukan kelima FIFA FIFPro 2015.
Baca juga: Liga Sepanyol Kekal Liga Terkuat Di Dunia 2015, EPL Jatuh Ke Tangga Ketujuh