Pemain kacukan Malaysia-Finland, Noaa Laine adalah antara muka baharu yang dipanggil untuk menjalani latihan pasukan negara untuk persiapan menghadapi Sukan SEA di Hanoi pada Mei hadapan.
Kelibat pemain berusia 19 tahun itu dianggap antara kejutan di dalam skuad kendalian Brad Maloney ketika sesi latihan pasukan itu semalam.
Merupakan seorang pemain tengah menyerang, Noaa adalah pemain kelab Veikkausliiga Finland – divisyen tertinggi piramid bola sepak Finland – Seinäjoen Jalkapallokerho (SJK Seinäjoki).
Pada musim lalu, Noaa tampil dalam 19 perlawanan membabitkan pasukan senior pasukan itu dan menjaringkan satu gol.
Pemain warisan negara
Nama Noaa Laine mungkin masih asing bagi peminat bola sepak di Malaysia.
Pemain itu mempunyai pertalian dengan negara ini melalui ayahnya yang berasal dari Malaysia, manakala ibunya pula berasal dari Finland.
Noaa dianggap sebagai salah seorang pemain berbakat dan berpotensi besar di Finland dan pernah beraksi bersama skuad B-16 dan B-17 Finland dalam beberapa pertandingan antarabangsa a sebelum ini.
Kejutan terbaru skuad B-23 yang akan ke Sukan SEA apabila pemain kacukan Finland-Malaysia, Nooa Laine turut menyertai kem latihan pusat malam ini.
Beraksi di posisi tengah menyerang & kini beraksi bersama kelab divisyen 1 Liga Finland, SJK Seinajoki (Finland).@ASTROARENA pic.twitter.com/V1rlySC8QU
— Fadhirul Shuhaimi (@FadhirulS) April 26, 2022
Nama beliau turut berada di dalam senarai yang dipanggil menyertai skuad B-18 Finland untuk kem latihan pusat sebelum ini, namun tiada aksi kompetitif membabitkan pasukan tersebut pada ketika itu disebabkan pandemik yang melanda.
Melalui temubual bersama Goal pada 2021, pemain ini turut pernah berbicara kemungkinan untuk beraksi bersama Malaysia pada masa hadapan, dan kini beliau berpeluang untuk membuktikan kemampuan beliau bersama skuad B-23 negara di temasya Sukan SEA.
Rangkaian 3 penyerang
Adanya Noaa Laine, Brad Maloney kini memiliki lebih banyak pilihan di bahagian jentera serangan pasukan negara.
Noaa dijangka akan digandingkan dengan dua lagi pemain penyerang, Hadi Fayyadh Abdul Razak yang berpengkalan di Jepun dan Luqman Hakim Shamsuddin yang kini beraksi di Belgium.
Pasukan B-23 tahun Malaysia diundi dalam kunpulan B bagi menghadapi temasya Sukan SEA edisi 2021 bersama-sama Thailand, Kemboja, Singapura dan juga Laos.
#SEAGAMES31| ✨MEN'S FOOTBALL – OFFICIAL DRAW RESULTS
Here is draw results of Men' Football at 31st SEA Games.
Let's support your country !#SEAGames31 #SG2021 pic.twitter.com/jQRmUPtYBJ
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) April 6, 2022
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak meletakkan sebarang sasaran di temasya kali ini kerana penyertaan di Sukan SEA kali ini dilihat sebagai medan eksperimen untuk membentuk skuad Piala Asia B-23 yang mantap pada Jun nanti.
Namun demikian pasukan negara dibawah bimbingan Brad Maloney dilihat mempunyai peluang cerah untuk mara ke peringkat separuh akhir sekaligus cuba untuk memenangi pingat pada edisi kali ini.